3 pelajar wakili Brunei ke Pertandingan Kuiz ASEAN

3 pelajar wakili Brunei ke Pertandingan Kuiz ASEAN

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Ogos – Tiga penuntut terbaik, hari ini, berlepas ke Vientiane, Laos bagi mewakili Negara Brunei Darussalam dalam Pertandingan Kuiz ASEAN Peringkat Serantau VII yang akan berlangsung dari 22 hingga 26 Ogos 2016.

Sebelum berlepas, Majlis Doa Selamat dan Penyerahan Bendera Negara Brunei Darussalam telah diadakan di ruang berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei di mana bendera telah disampaikan oleh Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan, Hajah Norashidah binti Haji Aliomar selaku Pengerusi Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) ASEAN Mengenai Kebudayaan dan Penerangan (ASEAN-COCI).

Rombongan berkenaan diketuai oleh Penolong Pegawai Penerangan, Unit Hal Ehwal Antarabangsa, Hajah Noorhijrah binti Haji Idris dan guru pengiring, Ketua Unit Akli di Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Hajah Hajidah binti Haji Abd Wahab.

Gambar ramai rombongan bersama Hajah Norashidah.
Gambar ramai rombongan bersama Hajah Norashidah.

Pelajar-pelajar terbaik yang terpilih itu ialah Dayang Aimi Iffah Radhidah binti Abdullah Zulhilmi dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan, Dayang Nurul Hidayatul Najibah binti Haji Maiddin dari Sekolah St. Andrew dan Dayang Siti Hamizah binti Haji Nordin dari Sekolah Menengah Sayyidina Husain.

Hajah Noorhijrah ketika di temu bual melahirkan harapan supaya wakil negara akan mencapai kejayaan selepas mencatat pencapaian terbaik pada tahun 2014 di Vietnam dengan mendapat tempat ketiga. Beliau seterusnya menjelaskan, kuiz ASEAN ini diadakan dua tahun sekali dan kali ini merupakan penyertaan ketujuh Negara Brunei Darussalam untuk pertandingan ini.

Pertandingan ini merupakan salah satu projek di bawah SCI yang antara lain bertujuan untuk memupuk semangat persaingan sihat dalam kalangan belia ASEAN mengenai perkembangan kebudayaan, politik, ekonomi dan sosial ASEAN di rantau ini.

ARTIKEL YANG SAMA