3 penjelajah dunia tiba di Brunei

3 penjelajah dunia tiba di Brunei

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Feb – Dengan berbekalkan basikal serta barang-barang keperluan asas, tiga orang penunggang basikal dari Nepal tiba di Brunei, hari ini, untuk meneruskan penjelajahan dunia mereka menggunakan basikal.

Ketibaan Dr. Amrit Baral, Ajit Baral dan Shankar Poudel telah disambut oleh rakan-rakan senegara mereka dan juga wartawan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

“Kami telah menjelajahi dunia bermula 20 September 2015, yang dimulakan dari Nepal, kemudian pergi ke India merentasi Selatan India selama 31 hari.

“Dari sana, kami menggunakan perahu untuk pergi ke Maldives selama seminggu. Selepas Maldives, kami pergi ke Sri Lanka dan balik ke India untuk menyeberangi sempadan ke Myanmar. Dari Myanmar, kami ke Thailand, Laos, Kemboja, Vietnam dan akhirnya ke Brunei,” jelas Dr. Amrit Baral ketika ditemui oleh wartawan Media Permata.

Dr. Amrit Baral (tiga, kanan), Ajit Baral (dua, kiri) dan Shankar Poudel (depan, duduk) memakai Khata yang dikalungkan oleh rakan senegara mereka sebaik ketibaan mereka disambut di lapangan terbang di sini.
Dr. Amrit Baral (tiga, kanan), Ajit Baral (dua, kiri) dan Shankar Poudel (depan, duduk) memakai Khata yang dikalungkan oleh rakan senegara mereka sebaik ketibaan mereka disambut di lapangan terbang di sini.

Menurut Dr. Amrit, beliau yang merupakan seorang doktor, sepupunya Ajit Baral seorang pencinta alam sekitar, dan rakannya Shankar Poudel, seorang hos program radio di Nepal merancang untuk menjelajahi dunia menggunakan basikal dalam masa lima tahun untuk menyebarkan kesedaran mengenai pemuliharaan alam sekitar dan penyakit HIV/AIDS.

Selama penjelajahan dunia menggunakan basikal, Dr. Amrit berkata mereka berhubung dengan pihak media, surat khabar, dan organisasi-organisasi untuk membantu mereka menyebarkan mesej yang berkaitan dengan isu-isu pemuliharaan alam dan HIV/AIDS kepada kalangan belia.

“Terdapat begitu banyak perkara seperti orang tidak memahami akan kepentingan alam sekitar seperti penduduk berlebihan, penebangan hutan, pencemaran laut, penangkapan ikan secara berlebihan, serta pemanasan global.

Terdapat satu lubang besar pada ozon di atas Antartika dan kerana itu, sinar ultra violet membuatkan kita mempunyai kanser kulit dan sebagainya.

“Dan juga HIV/AIDS, kerana orang ramai tidak memahami AIDS. Ia adalah satu penyakit yang boleh dicegah jika kita mengamalkan tingkah laku seksual yang selamat. Kami juga ingin memberitahu para belia untuk menjauhkan diri daripada dadah.

“Jika hanya kita boleh merubah seorang dalam sebuah negara, ia sudah mencukupi kerana seorang boleh merubah 10 orang, dan 10 orang boleh merubah 100. Ia seperti kesan domino,” tekan Dr. Amrit Baral lagi.

Ditanya mengenai rancangan melawat ke sekolah-sekolah atau universiti di Brunei, beliau mengatakan bahawa beliau memang berhajat untuk berbuat demikian namun mereka belum lagi mempunyai hubungan dengan pihak-pihak sekolah di Brunei.

Oleh itu beliau mengharapkan pihak media untuk menyampaikan perkara berkenaan agar pihak-pihak sekolah dan universiti dapat bekerjasama dengan mereka menyebarkan kesedaran mengenai pemuliharaan alam sekitar dan penyakit HIV/AIDS ini.

Dr. Amrit juga menambah, mereka menjelajah dunia dengan pembiayaan sendirian, dan menggunakan basikal mereka yang sudah melalui perjalanan lebih 10,000km dengan keadaannya kini kurang baik.

Beliau tidak mengharapkan bantuan daripada orang ramai namun jika diberikan bantuan, mereka akan menerimanya dan menggunakannya sebaik-baiknya.

Mereka merancang untuk pergi ke Kuala Belait dan dalam perjalanan ke sana, mereka akan membuat persinggahan ke tempat-tempat menarik, dan ke sekolah-sekolah.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin memberi bantuan, bolehlah menghubungi mereka dengan menghantar e-mel ke alamat world.tournepal34@gmail.com.