3 penulis Brunei buat lawatan ke Pameran Motor Korea

3 penulis Brunei buat lawatan ke Pameran Motor Korea

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mei – Dengan hasrat untuk melihat dengan lebih dekat teknologi terkini yang digunakan dalam kenderaan keluaran Hyundai, delegasi seramai tiga orang yang terdiri daripada pengamal media dan pegawai dari Setia Motors Sdn Bhd, berlepas ke Korea untuk menyertai Lawatan Media Global ke Pameran Motor Busan, Korea.

Delegasi dari Brunei itu terdiri daripada pegawai dari Jabatan Pemasaran Setia Motors, Awang Nazim Mua’azasbri, wakil dari Mantuka Brunei, Dayang Sabrina Sallehuddin dan pemberita dari United Daily News, Vivi Law, yang akan berada di Korea bagi menyertai program lawatan itu bermula esok hingga 3 Jun.

Delegasi itu dijemput menghadiri program berkenaan yang dikendalikan oleh Kumpulan Perhubungan Awam Global, Hyundai Motor Company di mana semasa lawatan itu, para peserta bukan sahaja berpeluang untuk melawat ke Pameran Motor Busan tetapi juga akan mengadakan lawatan ke Syarikat Hyundai Motor.

Semasa lawatan itu nanti, delegasi dari Brunei bersama-sama delegasi dari luar negara akan berpeluang untuk melawat ke ibu pejabat, kilang dan pusat penyelidikan dan perkembangan bagi Hyundai Motor di mana mereka akan diberikan pendedahan serta penerangan mengenai teknologi terkini yang digunakan dalam kenderaan Hyundai dan juga usaha untuk memajukan lagi jenama berkenaan.

Awang Nazim (tengah), Vivi (kiri) dan Dayang Sabrina (kanan) berlepas ke Korea bagi menyertai program lawatan media global atas jemputan Syarikat Hyundai Motor.
Awang Nazim (tengah), Vivi (kiri) dan Dayang Sabrina (kanan) berlepas ke Korea bagi menyertai program lawatan media global atas jemputan Syarikat Hyundai Motor.