3 penumpang China disekat daripada menaiki kapal terbang

3 penumpang China disekat daripada menaiki kapal terbang

BEIJING, 11 April (AFP) – China telah mengharamkan tiga penumpang daripada penerbangan utama kerana ‘berkelakuan tidak bertamadun’, media kerajaan melaporkan hari ini, ketika negara berusaha menanamkan sikap baik penduduk yang semakin kerap melancong.

Ketiga-tiga mereka itu telah disenaraihitamkan kerana memukul seorang pegawai keselamatan dengan tin susu, menyerang kakitangan penerbangan kerana penangguhan penerbangan, dan enggan mematikan komputer tablet ketika mendarat, lapor surat khabar China Daily.

Mereka adalah yang pertama dimasukkan dalam sistem yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Pengangkutan Udara China Air pada Februari lalu, dan tidak akan dapat menempah penerbangan dengan lima sistem penerbangan terbesar China sehingga dua tahun, tambahnya.

Pihak berkuasa China pada tahun lalu telah mengisytiharkan 11 jenis tindakan ‘yang benar-benar ditegah’ dalam penerbangan dan di terminal, termasuklah merosakkan kemudahan keselamatan lapangan terbang dan menyerang anggota kru, menurut China Daily.

Kelakuan seumpama itu kerap menjadi tajuk akhbar di negara itu dengan catatan rekod paling teruk di dunia bagi penangguhan penerbangan.

Pada Januari tahun lalu, 25 orang penumpang ditahan oleh polis untuk disoal siasat selepas mereka bertengkar dengan anggota kru ekoran penangguhan kerana cuaca buruk dan membuat pintu keluar kecemasan.

Dalam tahun 2013, seorang pegawai yang terlepas dua penerbangan menjadi berang ketika berada di kaunter perlepasan untuk menaiki pesawat udara dan kemudian mengamuk, dengan ganas memusnahkan dua buah komputer dan cuba memecahkan cermin tingkap dengan papan tanda.

Pada Disember 2014, seorang wanita China dalam perjalanan pulang ke China dari Thailand melontar secawan mi yang penuh berisi air mendidih ke arah seorang atendan penerbangan Thailand dan menumbuk tingkap kabin, mengancam akan terjun keluar, dalam pertengkaran yang meletus kerana penyusunan tempat duduk.

Sebuah editorial dalam China Daily semalam melaporkan bahawa tindak menyenaraihitamkan itu ‘telah lama terlambat’ dan hukuman pertama akan memberi amaran kepada mereka yang ingin bercuti supaya mematuhi peraturan. “Tidak ada alasan bagi mereka untuk dihormati apabila mereka sendiri tidak menunjukkan rasa hormat kepada yang lain,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA