3 produk dicemari bahan terlarang

3 produk dicemari bahan terlarang

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Jan – Tiga lagi produk, satu produk suplemen kesihatan dan dua produk kosmetik, telah didapati dicemari dengan bahan terlarang yang tidak diisytiharkan berikutan ujian makmal Bahagian Kawalan Mutu Ubat, Jabatan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan.

Produk-produk berkenaan ialah Chantique Beauty Slimming Herbal yang dicemari dengan spironolactone, dan dua produk Qu Puteh Kosmetik edaran Vida Beauty Sdn Bhd, iaitu Whitening Pro 9 dan Whitening UV Block yang dicemari dengan merkuri.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya menyatakan bahawa bahan pencemar dalam produk-produk berkenaan boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan. Menurut kenyataan itu, penggunaan spironolactone secara berpanjangan tanpa pengawasan boleh menyebabkan lesu atau berasa tidak sihat, pening, kekeliruan, kekejangan, keguguran rambut dan ruam pada kulit.

Sementara itu, Merkuri pula merupakan bahan yang dilarang dalam produk kosmetik seperti yang ditetapkan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik) 2007.

Chantique Beauty Slimming Herbal.
Chantique Beauty Slimming Herbal.
Qu Puteh Kosmetik-Whitening Pro 9 dan Qu Puteh Kosmetik-Whitening UV Block.
Qu Puteh Kosmetik-Whitening Pro 9 dan Qu Puteh Kosmetik-Whitening UV Block.

Penggunaannya dalam produk kosmetik dilarang kerana ia boleh memudaratkan kesihatan, yang mana, tahap merkuri yang tinggi atau pendedahan kerap boleh menyebabkan kulit kebas, sakit kepala, ruam, perubahan warna kulit serta kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

Anak damit dan kanak-kanak kecil boleh terdedah dengan kesan sampingan daripada pengguna, yang boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau anak damit yang belum dilahirkan.

Kementerian Kesihatan juga memaklumkan bahawa pihak mereka tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan dan/atau mengeluarkan Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik bagi penjualan produk-produk tersebut.

Berikutan dapatan ini, produk-produk berkenaan dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam.

Sehubungan itu, orang ramai yang telah membeli atau memakan produk-produk tersebut dinasihatkan untuk memberhentikan pengambilannya dengan serta merta. Jika mereka mengalami kesan buruk dan merasa tidak sihat selepas menggunakan produk-produk berkenaan, hendaklah berjumpa doktor dengan segera.

Manakala itu, orang ramai yang terlibat dalam penjualan produk-produk tersebut (termasuk penjualan secara online seperti melalui Facebook dan sebagainya) juga diingatkan bahawa menjadi satu kesalahan di bawah akta Racun 1956 untuk menjual mana-mana produk yang mengandungi bahan dikawal di bawah akta berkenaan dan boleh dikenakan denda sebanyak $8,000 atau penjara enam bulan, jika didapati bersalah.

Tambahan pula, jika seseorang melakukan sesuatu atas kecuaiannya sendiri yang membahayakan atau mungkin membahayakan nyawa manusia, jika didapati bersalah, akan didenda sebanyak $16,000 dan 12 bulan penjara.

Orang ramai juga diingatkan bahawa menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik), 2007 untuk mengimport dan memasarkan produk kosmetik di pasaran tempatan tanpa Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa di Kementerian Kesihatan, dan jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi $5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Kementerian Kesihatan juga memohon kerjasama orang ramai untuk melaporkan kepada Bahagian Penguatkuasaan Farmasi jika mendapati produk-produk berkenaan masih dipasarkan di negara ini.

Untuk maklumat lanjut dan perhubungan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Penguatkuasaan Farmasi melalui talian telefon 2393298 sambungan 208, menghantar e-mel kepada pharmacy.enforcement@moh.gov.bn atau berjumpa terus pegawai penguatkuasaan farmasi di Tingkat 1, Bangunan Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kampung Madaras.