3 produk kosmetik tercemar

3 produk kosmetik tercemar

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Okt – Kementerian Kesihatan memaklumkan kepada orang ramai supaya tidak menggunakan tiga produk kosmetik, iaitu Vcare Beauty Solution-Perfecr Whitening Cream, Seri Putih Skincare 3 In 1-Krim Malam dan Syma Beauty Skincare, My Beauty Secret By Syma-Night Cream.

Dalam kenyataan yang dikeluarkannya, Kementerian Kesihatan menyatakan bahawa hasil daripada ujian makmal Bahagian Kawalan Mutu Ubat, Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan mendapati bahawa produk-produk tersebut dicemari dengan bahan terlarang yang tidak diisytiharkan.

Produk-produk berkenaan telah didapati melalui aktiviti pemantauan semasa pasaran yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi di kedai-kedai runcit.

Vcare Beauty Solution-Perfecr Whitening Cream (Night Cream), (Set Normal dan Jeragat) yang dikilangkan oleh Ayu Jelita Enterprise, Kelantan Darul Naim, dan Syma Beauty Skincare, My Beauty Secret By Syma-Night Cream yang dikilangkan di Malaysia telah dicemari dengan Hydroquinone, manakala itu, Seri Putih Skincare 3 In 1-Krim Malam(Jerawat/Sensitif), (Set Rawatan Pencerahan Jerawat/Sensitif/Berminyak) yang diedarkan oleh Seri Putih Resources 5A, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan, dicemari dengan Merkuri.

Menurut kenyataan itu lagi, bahan-bahan pencemar dalam produk berkenaan boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan.

Merkuri adalah bahan yang dilarang dalam produk kosmetik seperti yang ditetapkan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik) 2007.

Penggunaan merkuri di dalam produk kosmetik adalah dilarang kerana ia boleh memudaratkan kesihatan. Tahap merkuri yang tinggi atau pendedahan yang kerap boleh menyebabkan kulit kebas, sakit kepala, ruam, perubahan warna kulit serta kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

Anak damit dan kanak-kanak kecil boleh terdedah dengan kesan sampingan daripada pengguna, yang boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau anak damit yang belum dilahirkan.

Hydroquinone pula adalah bahan yang digunakan dalam ubat-ubatan yang memerlukan preskripsi bagi merawat penyakit kulit dan ia dilarang sebagai bahan dalam produk kosmetik penjagaan kulit di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik).

Penggunaan Hydroquinone tanpa pengawasan boleh menyebabkan perubahan warna kulit, hipersensitif, bahagian kulit yang disapu menjadi biru-hitam atau gelap serta boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

Kementerian Kesihatan menekankan bahawa mereka tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan dan mengeluarkan Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik bagi penjualan produk-produk tersebut. Berikutan dapatan ini, produk-produk berkenaan dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam.

Sehubungan itu, orang ramai yang telah menggunakan produk-produk tersebut dinasihatkan untuk memberhentikan pemakaiannya dengan serta merta. Jika mereka mengalami kesan buruk dan merasa tidak sihat selepas menggunakan produk-produk berkenaan, hendaklah berjumpa doktor dengan segera.

ARTIKEL YANG SAMA