3 Stesen Pertanian diswastakan

3 Stesen Pertanian diswastakan

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Julai – Satu Majlis Penandatanganan Perjanjian Penyewaan Tanah di antara Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama bagi Penswastaan Stesen-stesen Pertanian di Tapak Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) iaitu Stesen Pertanian Pangkalan Batu, Selangan dan Tanah Jambu, berlangsung hari ini di Bilik Permai, Ibu Pejabat Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Berakas, di sini.

Jabatan Pertanian dan Agrimakanan diwakili oleh Pengarah Pertanian dan Agrimakanan, Hajah Aidah binti Haji Mohd Hanifah dan disaksikan oleh Pemangku Timbalan Pengarah Pertanian dan Agrimakanan, Hajah Khartini binti Haji Musa.

Syarikat Imbru Essential Oils Enterprise diwakili oleh Pemilik Syarikat, Dayang Adina binti Dr Haji Anjah / Haji Amzah dan disaksikan oleh Pengurus Syarikat, Dr. Haji Amzah bin Haji Abdul Rahman.

Syarikat TNC Landscaping Sdn Bhd diwakili oleh Pengarah Syarikat, Pengiran Haji Hashim bin PSR Pengiran Haji Jaya dan disaksikan oleh Pengurus Syarikat, Awang Lien Ching Ming.

Syarikat United Agri-Fishery Market Sdn Bhd pula diwakili oleh Pengarah Syarikat, Awang Haji Yusrie bin Haji Jaman dan disaksikan oleh Pengurus Am Syarikat, Awang Harold Raps.

Pertukaran dokumen antara Jabatan Pertanian dan Agrimakanan (kanan) dengan Syarikat Imbru Essential Oils Enterprise
Pertukaran dokumen antara Jabatan Pertanian dan Agrimakanan (kanan) dengan Syarikat Imbru Essential Oils Enterprise

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyaksikan Majlis Penandatanganan tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pembangunan Industri dan Keusahawanan), Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Awang Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid.

Hadir sama ialah pegawai-pegawai kanan dan kakitangan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan.

Stesen-stesen ini dahulunya merupakan tapak yang diselenggarakan dan diusahakan oleh Jabatan Pertanian dan Agrimakanan bagi usaha-usaha pengeluaran benih/klon buah-buahan, pokok mata tunas terpilih dan berkualiti tinggi dan semaian buah-buahan untuk dijual kepada orang ramai.

Stesen Pertanian Pangkalan Batu dibuka pada tahun 1966 dengan keluasan 3.73 hektar, Stesen Pertanian Selangan pula pada tahun 1971 dengan keluasan 55.8 hektar manakala Stesen Pertanian Tanah Jambu dibuka pada tahun 1978 dengan keluasan 40.0 hektar.

Penswastaan Stesen-stesen Pertanian ini adalah merupakan salah satu langkah Jabatan bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi khasnya dalam bidang pertanian dan mengurangkan kos operasi pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Tawaran bagi stesen-stesen pertanian ini telah pun diiklankan kepada syarikat-syarikat yang berkelayakan melalui Pelita Brunei dan laman sesawang Jabatan Pertanian dan Agrimakanan.

Jabatan Pertanian dan Agrimakanan merancang pelbagai program peningkatan hasil bagi mendukung Pelan Strategik Jabatan.

Salah satu usaha itu dilaksanakan melalui penswastaan tapak-tapak stesen pertanian. Projek penswastaan ini melibatkan syarikat-syarikat berkenaan untuk menyelenggarakan semua aset kerajaan seperti tanaman klon buah-buahan tanpa perbelanjaan pihak jabatan di samping mengusahakan penghasilan ladang utama mereka seperti tanaman teknologi tinggi, florikultur dan sebagainya.

Syarikat-syarikat berkenaan juga mampu menjana pendapatan sama ada melalui penghasilan ladang utama mereka mahupun memperoleh hasil tanaman-tanaman yang sudah sedia ada.

Bagi tapak Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Stesen Pertanian Pangkalan Batu keseluruhan kawasan akan dimajukan dengan tanaman, pemprosesan, pameran dan jualan kelapa dan produk-produk berasaskan kelapa oleh Syarikat Imbru Essential Oils Enterprise.

Manakala bagi Stesen Pertanian Selangan, 30.0 hektar dimajukan dengan tanaman rumput, bunga-bungaan, semaian dan hiasan secara komersial oleh Syarikat TNC Lanscaping Sdn Bhd.

Stesen Pertanian Tanah Jambu pula, 25.3 hektar akan dimajukan dengan kegiatan menggunakan rumah terlindung dan perladangan sistem fertigasi, drip irrigation dan soil-less culture bagi pengeluaran dan penghasilan tanaman dan tanaman hiasan serta pengeluaran buah-buahan secara komersial oleh United Agri-Fishery Market Sdn Bhd.

ARTIKEL YANG SAMA