3 suspek curi kenderaan ditahan di Tenom

3 suspek curi kenderaan ditahan di Tenom

KOTA KINABALU, 12 Ogos – Polis menahan tiga individu yang dipercayai terlibat dalam kes curi kenderaan di pekan Tenom yang terletak kira-kira 173 kilometer dari bandar raya ini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Datuk Salehhudin Abdul Rahman berkata suspek iaitu seorang lelaki dan dua wanita berusia 30 hingga 36 tahun itu ditahan kira-kira pukul 3:40 petang.

Katanya sebelum ditahan, pasukan peronda telah terserempak dengan sebuah kereta jenis Proton Waja yang dilaporkan hilang kira-kira pukul 11 pagi hari yang sama di Kampung Bamban menuju ke Sipitang.

“Kemudian berlaku kejar-mengejar antara pihak polis dan suspek sehingga ke Kampung Api, Tenom, sebelum suspek memberhentikan kenderaan dan empat suspek yang berada di dalam kenderaan berkenaan bertindak melarikan diri ke arah hutan berdekatan.

“Susulan daripada itu, polis menjalankan usaha memburu kesemua suspek dan tiga daripadanya berjaya ditahan manakala seorang lagi melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata turut dirampas bersama suspek ialah beberapa peralatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan curi kereta. Katanya siasatan awal mendapati kesemua suspek adalah penganggur dan dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes curi kenderaan dan dadah.

“Siasatan lanjut terhadap kumpulan itu akan dijalankan bagi mengesan rakan sejenayah mereka dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana melakukan curi kenderaan motor yang membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun serta boleh dikenakan denda,” katanya. – Bernama