3 syarikat China teroka peluang di Sarawak

3 syarikat China teroka peluang di Sarawak

KUCHING, 2 Dis (Bernama) – China State Construction Engineering Corporation Ltd (CSCEC), kumpulan hartanah dan pemaju terbesar di China serta lagi dua lagi syarikat dari negara tersebut sedang meneroka peluang perniagaan dan pelaburan di Sarawak.

CSCEC, Blue Ocean Energy Company Ltd (BOE) dan Blue Energy Technology Company Ltd (BET) telah pun menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan kerajaan negeri hari ini.

MoU tersebut adalah untuk peluang-peluang dalam bidang pembangunan infrastruktur, tenaga boleh diperbaharui dan pengurusan sisa.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani berkata, ketiga-tiga syarikat itu akan menjalankan kajian dan penyelidikan mereka dalam bidang kepentingan masing-masing.

“Negeri ini mempunyai banyak tawaran untuk mereka terutamanya dalam pembangunan infrastruktur, pengurusan sisa dan gas asli. Mereka akan datang kembali kepada kami dengan cadangan mereka untuk penilaian,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU itu.

Morshidi berkata jawatankuasa teknikal dan pemandu negeri akan menilai cadangan mereka jika wujud kelebihan dari segi sokongan kewangan dan pemindahan teknologi oleh syarikat-syarikat terbabit.

Dalam majlis itu, Morshidi mewakili kerajaan negeri, manakala Pengarah Urusan CSCEC Lu En, Pengerusi BOE Wu Xingjun dan Pengerusi BET Wang Bing menandatangani bagi pihak syarikat masing-masing.

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem dan Konsul Besar China di Kuching, Liu Quan adalah antara mereka yang menyaksikan acara tersebut.

CSCEC ditubuhkan pada 1982 dan disenaraikan di Bursa Saham Shanghai pada 2009.

Ia mempunyai jumlah aset melebihi AS$100 bilion. Ia juga merupakan syarikat pembinaan ketiga terbesar di dunia dan berada di kedudukan ke-37 dalam Fortune Global 500, edisi 2015.

Sehingga kini, ia telah menyelesaikan lebih daripada 5,600 projek di 116 buah negara dan wilayah di seluruh dunia.

CSCEC telah menubuhkan cawangan di Malaysia pada 2013 dan telah mengambil beberapa kontrak bernilai RM4 bilion di Semenanjung.

Sementara itu Blue Ocean Energy merupakan pemaju projek tenaga bersih antarabangsa dengan pengkhususan dalam bidang penggunaan gas asli manakala BET merupakan penyedia perkhidmatan alam sekitar antarabangsa yang komprehensif.