3 syarikat diarah laksana pembersihan

3 syarikat diarah laksana pembersihan

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Mei – Tiga buah syarikat telah dikenakan tindakan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil (Penggal 30) oleh Bahagian Perlesenan dan Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Brunei dan Muara ketika pemeriksaan mengejut dijalankan, hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, pemeriksaan telah dilakukan ke atas beberapa buah premis perniagaan dan tempat awam di kawasan persekitaran Kampung Kilanas, Kampung Tanjung Bunut, Kampung Sengkurong dan Kampung Jerudong.

Hasil daripada pemeriksaan itu, dua buah syarikat yang didapati melonggokkan sampah sarap di tempat awam dan melakukan pembakaran terbuka telah dikenakan denda sebanyak $200.

Manakala sebuah syarikat lagi telah dikenakan denda sebanyak $500 atas kesalahan meninggalkan bahan binaan di atas tanah lapang.

Sehubungan itu, syarikat-syarikat berkenaan diingatkan supaya melaksanakan pembersihan dan membuat pembayaran denda dalam tempoh satu minggu dari tarikh ia dikeluarkan.

Sampah sarap yang dilonggokkan di tempat awam oleh syarikat-syarikat yang tidak bertanggungjawab.
Sampah sarap yang dilonggokkan di tempat awam oleh syarikat-syarikat yang tidak bertanggungjawab.

Jika gagal, mereka akan dikenakan tindakan undang-undang.

Dalam pada itu, orang ramai serta semua peniaga, pengusaha dan penjaja juga diingatkan agar dapat mengambil perhatian dan tanggungjawab bersama untuk sama-sama menjaga kebersihan di persekitaran kawasan awam dan kawasan tempat perniagaan.

Pihak Jabatan Daerah Brunei dan Muara tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana individu atau syarikat perniagaan yang didapati membuang sampah atau meninggalkan mana-mana barang di tempat kawasan awam atau di tempat yang tidak dibenarkan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi $1,000 bagi kesalahan pertama, bagi kesalahan kedua denda sebanyak $3,000 atau hukuman penjara tidak melebihi tiga bulan.

ARTIKEL YANG SAMA