3 tahun penjara gara-gara dadah

3 tahun penjara gara-gara dadah

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Sept – Seorang lelaki tempatan yang mengaku bersalah kerana mengambil dadah Methylamphetamine pada 2014 atas alasan ‘tertekan’ kerana tidak dibenarkan melihat isterinya yang ketika itu ditahan di penjara, telah menerima nasibnya hari ini apabila Mahkamah Majistret menjatuhi hukuman penjara selama tiga tahun.

Majistret Kanan, Haji Nabil Daraina bin PUKDPSS Ustaz Haji Awang Badaruddin memerintahkan hukuman ke atas Mohd Sani bin Haji Mohd Salleh, 40, berkuat kuasa hari ini.

“Mungkin pihak penjara mempunyai sebab yang tersendiri kenapa kamu tidak dibenarkan melihat isteri kamu.

“Tambahan lagi, mengambil dadah bukanlah satu cara yang terbaik untuk kamu menghilangkan tekanan,” kata Majistret Kanan.

Defendan, pada Oktober 2012, telah dirujuk di bawah program pengawasan Biro Kawalan Narkotik (BKN) selama 24 bulan dan sebagai sebahagian dari program itu, defendan diperlukan untuk menjalani ujian air kencing pada bila-bila tarikh atau masa bagi memastikan dia tidak mengambil mana-mana dadah terkawal.

pg06_151001_mahkamah logo

Pada Mei 2014, ujian air kencing defendan diambil dan diserahkan ke Jabatan Perkhidmatan Saintifik untuk dianalisis, dan keputusan menunjukkan ia positif bagi Methylamphetamine.

Dalam rekod, defendan mempunyai kesalahan terdahulu di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah pada Disember 2008. Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Raya BKN, Norizanullah binti Haji Awang Jaya.

Dalam bilik mahkamah yang sama, seorang lelaki Indonesia dikenakan denda $1,500 juga atas kesalahan mengambil dadah Methylamphetamine pada Februari 2013.

Sutikno Tukirin, 38, turut diperintahkan oleh Majistret Kanan untuk menjalani hukuman penjara selama dua bulan jika gagal membayar denda itu, hari ini.

Defendan ditahan oleh sepasukan pegawai BKN yang menjalankan serbuan di sebuah rumah di Kampung Selayun pada 3 Februari 2013.

Pegawai Pendakwa Raya BKN, Ahmed Faez Anuar memberitahu mahkamah bahawa ujian air kencing yang diambil daripada defendan ketika itu setelah dianalisis didapati mengandungi dadah terkawal kelas A, Methylamphetamine.

ARTIKEL YANG SAMA