3 terima biasiswa IOC

3 terima biasiswa IOC

Oleh Pg Fairol RMF

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Nov – Tiga atlet negara telah dipilih untuk menerima biasiswa Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) melalui Program Perpaduan Olimpik yang dihadapkan menerusi Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam atas kejayaan yang mereka capai dalam bidang sukan masing-masing selama ini.

Biasiswa yang diberikan itu adalah sebagai persediaan Sukan Olimpik yang akan diadakan di Rio De Janeiro, Brazil tahun depan.

Tiga orang atlet negara yang dipilih tersebut ialah Awang Mohd Fakhri bin Ismail, Dayang Tiara Eleina binti Shahril Anwar dan Dayang Maizurah binti Abdul Rahim.

Sehubungan itu, majlis penandatanganan biasiswa berkenaan telah diadakan hari ini di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, antara Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan ketiga-tiga atlet berkenaan dengan disaksikan oleh Setiausaha Agung Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Haji Zuraimi bin Haji Abdul Sani.

Turut hadir ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Timbalan Setiausaha Tetap di KKBS, Haji Noor Jusmin bin Haji Abdul Samad dan para pegawai kanan kerajaan.

Pengiran Bendahara berkenan bergambar ramai bersama penerima biasiswa IOC.
Pengiran Bendahara berkenan bergambar ramai bersama penerima biasiswa IOC.

Pada majlis penandatanganan itu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara berkesempatan untuk memberikan sabda nasihat dan saranan kepada atlet-atlet berkenaan, agar menumpukan kepada latihan yang diberikan selama sembilan bulan ini.

Duli Yang Teramat Mulia juga menyarankan supaya jangan melepaskan peluang besar ini untuk memberi yang terbaik kerana pencapaian atlet yang dipilih itu akan membawa kepada nama negara sendiri.

Pemilihan mereka adalah berdasarkan hasil pencapaian yang dihantar melalui Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke Program Perpaduan Olimpik.

Awang Mohd Fakhri dipilih berdasarkan kepada pencapaiannya dalam Sukan SEA ke-27 di Singapura yang lalu, di mana beliau berjaya mendapat tempat ke-5 di peringkat akhir acara 100 meter, sekali gus memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan masa 10.59 saat.

Di samping itu, Awang Mohd Fakhri juga berjaya memasuki pusingan saringan bagi acara 100 meter lelaki di Kejohanan IAAF 2015 yang diadakan di Beijing pada tahun ini selepas berjaya mendapat tempat ke-3 dalam pusingan awal.

Manakala itu, atlet renang perempuan, Dayang Tiara Eleina dicalonkan berdasarkan kepada pencapaian terbaik dalam kejohanan FINA World Championship, Kazan Russia bagi acara 50 meter gaya bebas dengan catatan masa 28.10 saat, sekali gus memegang rekod kebangsaan bagi acara tersebut, di samping pencapaian-pencapaian lain.

Memandangkan Dayang Tiara kini melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat (AS)dan seterusnya menjalani latihan di sana, latihan beliau di bawah penjagaan jurulatihnya di AS dan dipastikan oleh Persatuan Renang Amatur Negara Brunei Darussalam.

Seorang lagi atlet olahraga, Dayang Maizurah menerima biasiswa berkenaan berdasarkan kepada pencapaiannya dalam acara larian 200 meter dengan catatan masa 25.22 saat dalam kejohanan Terbuka Brunei yang diadakan pada Oktober lalu.

Biasiswa-biasiswa yang diberikan ini adalah bagi tempoh sembilan bulan bermula 1 November 2015 hingga 31 Ogos 2016, yang mana setiap atlet mendapat bantuan kewangan sebanyak AS$1,000 setiap bulan, bagi membantu mereka dalam menjalani latihan dan membeli peralatan latihan sama ada latihan dijalankan di dalam ataupun luar negara.

Bagi memastikan biasiswa kewangan yang disalurkan ini digunakan dengan sepenuhnya, semua atlet yang berjaya hendaklah menjalankan latihan secara berterusan.

Jurulatih-jurulatih, persekutuan dan persatuan sukan kebangsaan juga akan menghantar laporan-laporan latihan dan prestasi atlet semasa latihan ataupun pertandingan uji cuba yang mereka sertai, pada setiap bulan kepada Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam untuk dihantar kepada Perpaduan Olimpik.

ARTIKEL YANG SAMA