3 wanita Vietnam dipenjara, seludup remaja ke Malaysia

3 wanita Vietnam dipenjara, seludup remaja ke Malaysia

HANOI, 10 Jun – Sebuah mahkamah di delta Mekong Vietnam telah menjatuhkan hukuman ke atas tiga wanita, termasuk seorang ibu dan anak, kepada keseluruhannya 33 tahun penjara berhubung penyeludupan seorang remaja ke Malaysia untuk dijadikan sebagai pekerja seks, menurut perintah mahkamah hari ini.

Nguyen Thi Thuy Trang, 30, dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun kelmarin, sementara ibunya Vo Thi Beo berusia 62 tahun menerima 10 tahun penjara, kedua-duanya disabit bersalah menyeludup remaja perempuan berusia 15 tahun ke Malaysia untuk bekerja sebagai pelacur, menurut keputusan perbicaraan daripada Mahkamah Rakyat Bandar Can Tho.

Rakan subahatnya Pham Thi Hanh berusia 40 tahun telah dijatuhkan hukuman 11 tahun penjara atas kesalahan sama.

“Kesemua mereka mengakui melakukan jenayah itu semasa dibicarakan,” kata setiausaha mahkamah Tong Thi Phung kepada dpa.

Trang meninggalkan Vietnam pada 2005 untuk bekerja di Malaysia sebagai pengurus kelab dan bertemu Hanh pada 2014. Pasangan itu merancang pelan untuk merekrut remaja perempuan Vietnam bekerja sebagai pelacur di kelab-kelab Malaysia.

Hanh pulang ke Can Tho dan memujuk remaja perempuan berusia 15 tahun itu untuk bekerja di sebuah kafe di Malaysia. Perempuan itu bersetuju dan berpindah dengan Beo di Bandar raya Ho Chi Minh, menurut perbicaraan itu.

Beo membawa remaja itu masuk ke Malaysia menggunakan jalan darat Kemboja dan Thailand, namun sejurus tiba di Malaysia remaja berkenaan enggan untuk bekerja sebagai pelacur dan menuntut agar dikembalikan ke tempat asalnya, menurut kertas mahkamah.

Trang menuntut keluarga mangsa membayar sekitar AS$900 untuk mengembalikan remaja itu ke Vietnam. Keluarga mangsa bersetuju namun melaporkan kes itu kepada polis. – dpa

ARTIKEL YANG SAMA