3 warga Indonesia diculik

3 warga Indonesia diculik

JAKARTA, Indonesia, 11 Julai – Militan yang disyaki Abu Sayyaf telah menculik tiga nelayan Indonesia pada hujung minggu lepas dalam siri terbaru insiden yang memperlihatkan keselamatan yang lemah di Laut Cerebes yang bersempadan dengan Malaysia, Indonesia dan Filipina.

Ketua agensi risikan Indonesia berkata hari ini bahawa lelaki-lelaki itu bekerja dalam sebuah bot nelayan Malaysia di persisiran Lahad Datu dalam bahagian kawasan Malaysia di utara Borneo. Sutiyoso berkata penculik-penculik itu melarikan diri bersama tebusan-tebusan mereka ke perairan Indonesia.

Beberapa krew dalam bot nelayan itu berjaya melarikan diri dan sekarang berada di Malaysia.

Indonesia, Malaysia dan Filipina bersetuju pada Mei lepas untuk men-jalankan rondaan sempadan-sempadan perairan berikutan penculikan anak-anak kapal bot tunda dan tongkang Indonesia yang dilakukan oleh militan Abu Sayyaf berpangkalan di selatan Filipina.

Warga-warga Indonesia, yang ditawan di dalam hutan wilayah Sulu selatan Filipina, kemudian dilepaskan. Kerajaan Indonesia menafikan ia terbabit dalam pembayaran wang tebusan.

Ketua Jeneral Angkatan Bersenjata Indonesia, Gatot Nurmantyo (kanan) dan Menteri Luar, Retno Mar-sudi ketika ditemu bual mengenai perkara berkenaan. - AP
Ketua Jeneral Angkatan Bersenjata Indonesia, Gatot Nurmantyo (kanan) dan Menteri Luar, Retno Mar-sudi ketika ditemu bual mengenai perkara berkenaan. – AP

“Kami masih menyiasat kes ini dan terus bekerjasama dengan institusi-institusi berkaitan di Filipina untuk mencari lokasi di mana ketiga-tiga tebusan itu ditahan,” Sutiyoso memberitahu The Associated Press. “Kami mensyaki tebusan-tebusan itu ditahan oleh sebuah kumpulan militan yang merupakan sebahagian daripada rangkaian Abu Sayyaf.”

Sementara itu, Filipina telah meningkatkan serangan tenteranya ke arah Abu Sayyaf, yang mana pada awal tahun ini telah memenggal kepala dua warga Kanada yang mereka tahan sejak September. – AP