3 warga Indonesia maut gempa bumi Taiwan

3 warga Indonesia maut gempa bumi Taiwan

JAKARTA, 7 Feb – Kira-kira tiga orang warga Indonesia terbunuh dan 55 orang lagi cedera di Taiwan selepas gempa bumi kuat berukuran 6.7 skala Richter menggegarkan selatan Taiwan awal pagi semalam, lapor agensi berita Antara, Indonesia.

Maklumat yang diperolehi oleh Antara dari Pejabat Ekonomi dan Perdagangan Indonesia (KDEI) di Taipei menyatakan bahawa para pegawai KDEI telah pergi ke lokasi yang ditimpa gempa bumi di daerah Tainan untuk mencatatkan bilangan mangsa warga Indonesia.

Terdapat kira-kira 16,000 warganegara Indonesia di Tainan, majoriti mereka bekerja di sektor pengilangan. Tainan, Kaohsiung, dan Pingtung, tempat banyaknya warganegara Indonesia menerima bahagian paling hebat gempa bumi kuat pagi semalam.

Gempa bumi kuat telah meruntuhkan sebuah bangunan pangsapuri 17 tingkat di selatan Taiwan yang mengakibatkan usaha tergesa-gesa untuk menyelamatkan kira-kira 35 orang yang dikhuatiri terperangkap di dalam, menurut laporan Reuters.

Para penyelamat memanjat tangga hidraulik dan kren untuk melancarkan usaha mencari di runtuhan, dan berjaya menyelamatkan 221 orang yang terselamat setakat ini, dengan berbelas-belas orang dibawa ke hospital, menurut seorang pegawai bomba.

Gempa bumi berpusat di tenggara Tainan, pada kedalaman 23 km, menurut Peninjauan Geologi AS. Beberapa kejutan lanjur menggegarkan Tainan, menurut biro cuaca Taiwan. – Bernama