3 warga Thai selamat dalam bot karam

3 warga Thai selamat dalam bot karam

BACHOK, 28 Feb (Bernama) – Tiga nelayan warga Thailand selamat, manakala dua lagi masih hilang selepas bot yang dinaiki mereka karam dipukul ombak besar di perairan Tok Bali, Pasir Puteh di sini, Sabtu malam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Azmi Osman berkata dalam kejadian 10 malam itu, bot terbabit dari Tak Bai, Thailand sedang menghala ke Tok Bali.

Beliau berkata mangsa pertama Som Som Mai, 32, dari wilayah Udon Thani, Thailand menyelamatkan diri dengan berpaut pada pelampung dan dihanyutkan ke pantai Kampung Nipah di sini, sebelum ditemui penduduk kampung kira-kira 08:50 pagi kelmarin.

“Mangsa kedua ditemui selamat pada pukul 9.50 pagi di Pantai Baharu di sini, manakala mangsa ketiga, juga ditemui selamat di Pantai Damai pada pukul 12.30 tengah hari kelmarin.

“Identiti dua lagi mangsa yang selamat itu belum dikenal pasti berikutan masalah komunikasi,” katanya ketika ditemui di Kampung Nipah di sini, kelmarin.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 08:56 pagi kelmarin dan tiba di pantai Kampung Nipah pada pukul 09:04 pagi, diketuai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok Penolong Penguasa Bomba Muhammad Khairu Yusoff bersama enam anggota.

Katanya operasi mengesan dua lagi mangsa yang masih hilang giat dijalankan dengan bantuan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), polis marin serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

ARTIKEL YANG SAMA