3 wartawan hilang di Syria

3 wartawan hilang di Syria

MADRID, 22 Julai – Tiga wartawan Sepanyol dilaporkan hilang di Syria ketika membuat laporan dari wilayah Aleppo, kata presiden persekutuan wartawan Sepanyol pada Selasa.

Jose Manuel Lopez, Antonio Pampliega dan Angel Sastre masuk ke Syria menerusi selatan Turki pada 10 Julai dan tiada lagi khabar berita daripada mereka sejak 12 Julai, kata Elza Gonzales, Presiden Persekutuan Persatuan Wartawan Sepanyol.

“Pertempuran sengit masih berlaku di wilayah itu, …inilah yang membimbangkan kami,” katanya kepada stesen televisyen nasional Sepanyol.

“Setakat ini, kami anggap mereka sebagai hilang,” katanya.

Bagaimanapun, Gonzales berkata, pihaknya tidak pasti sama ada ketiga-tiga wartawan berkenaan bersama-sama membuat liputan di wilayah itu atau bergerak secara berasingan.

Dalam pada itu, Gonzales berkata, beliau dimaklumkan pihak berkuasa Sepanyol belum dapat memastikan nasib wartawan berkenaan atau sama ada mereka diculik.

Tiga wartawan berkenaan bertugas dengan beberapa agensi berita termasuk akhbar La Razon dan ABC. – AFP