3 wartawan Sepanyol di Syria dibebaskan

3 wartawan Sepanyol di Syria dibebaskan

MADRID, 8 Mei (AFP) – Tiga wartawan Sepanyol yang diculik di Syria kira-kira 10 bulan lalu tela dibebaskan semalam dan dijangka pulang ke tanah air dari Turki, menurut Persekutuan Media Sepanyol dan kerajaan.

Ketiga-tiga mereka itu, yang bekerja bagi pelbagai media Sepanyol sekitar waktu kehilangan mereka, kali terakhir dilihat pada Julai 2015 di bandar barat laut Aleppo, tempat mereka melaporkan tentang pertempuran di sana.

“Ketiga-tiga mereka telah dibebaskan, Antonio Pampliega, Jose Manuel Lopez dan Angel Sastre, sedang dalam perjalanan mereka menuju Sepanyol,” kata Elsa Gonzalez, presiden Persekutuan Media Sepanyol (FAPE).

Sumber dekat dengan kerajaan Sepanyol memberitahu AFP bahawa mereka berada di Turki menantikan penerbangan balik ke Sepanyol.

“Mereka berada di Turki dan dijangka pulang pada pagi ini,” menurut sumber itu lagi.

Tiga orang wartawan Sepanyol kini pulang ke pangkuan keluarga setelah berada dalam tahanan selama 10 bulan. - AP
Tiga orang wartawan Sepanyol kini pulang ke pangkuan keluarga setelah berada dalam tahanan selama 10 bulan. – AP

“Kesemua mereka dalam keadaan baik,” menurut jurucakap wanita kerajaan dengan menambah kata Timbalan Perdana Menteri Sepanyol Soraya Saenz de Santamaria telah bercakap dengan ketiga-tiga lelaki itu awal semalam.

Pembebasan mereka ‘menjadi kenyataan ekoran kerjasama sekutu-sekutu dan rakan-rakan terutamanya dalam fasa terakhir dari Turki dan Qatar,” kerajaan berkata dalam satu kenyataan.

Gonzalez dari FAPE telah bercakap kepada AFP tentang ‘kegembiraannya; berhubung pembebasan para wartawan itu. Dia berkata mereka ‘berada di tempat selamat’ dan akan mendarat di pangkalan udara pinggir Madrid pada hari Ahad.

Dia enggan memberi sebarang butir tentang para penculiknya.

Menurut kumpulan Pemerhati Hak Asasi Kemanusiaan Syria, ketiga-tiga pemberita itu kali terakhir dilihat di kawasan Aleppo yang dikuasai pemberontak pada 13 Julai 2015, apabila mereka membuat perjalanan dalam sebuah van bersama-sama sebelum dibawa pergi oleh lelaki-lelaki bersenjata.