30 ahli PBSM dirai

30 ahli PBSM dirai

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Sept – Seramai 30 ahli Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) dari keempat-empat daerah diraikan dalam majlis penyampaian sijil setelah menamatkan Program Perkhemahan Belia Sebagai Ejen kepada Perubahan Tingkah Laku (YABC), hari ini.

Majlis penutupan rasmi di Dewan Perkampungan Sukan di Berakas itu dihadiri oleh Mantan Presiden PBSM Negara Brunei Darussalam, Datin Hajah Siti Hajar binti Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof yang seterusnya menyampaikan sijil kepada para peserta.

Pengarah Perkembangan Belia PBSM Negara Brunei, Dayang Ya-Aneta Wati binti Haji Mohd Yusuf pula berkata, program selama lima hari itu dihasratkan dapat mencetuskan proses transformasi jati diri dalam kalangan peserta belia dengan harapan dapat mewujudkan proses perubahan positif dari segi cara berfikir, sikap dan tingkah laku.

“Ini termasuk menjana keupayaan sebagai pemimpin dan mampu bergerak membawa perubahan pada orang lain selaras dengan prinsip asas tujuh fundamental palang merah dan bulan sabit merah,” jelasnya.

Salah seorang peserta program menerima sijil daripada Datin Hajah Siti Hajar.
Salah seorang peserta program menerima sijil daripada Datin Hajah Siti Hajar.
Gambar ramai peserta program bersama tetamu kehormat.
Gambar ramai peserta program bersama tetamu kehormat.

Beliau juga menyatakan harapan agar peserta program berkenaan akan menjadi belia yang bertanggungjawab dalam menanai tujuh fundamental persatuan sebagai pemangkin penerus perkembangan PBSM Negara Brunei Darussalam.

Pada majlis itu, beliau juga mengumumkan penubuhan Kelab YABC PBSM NDB, bermula hari ini, di bawah tanggungjawab dua orang ketua belia yang dilantik sebagai pemimpin bagi memimpin satu Jawatankuasa Bertindak (Task Force Committee) Program YABC bagi persatuan berkenaan.

Kelab berkenaan akan diurus tadbir sepenuhnya oleh 30 orang belia sedia ada dan di bawah kepimpinan bersama Ketua Pergerakan Belia Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam, Dayang Adinana binti Abdul Rashid dan Awang Abdul Muntaqim dan tarikh lantikan ini mula berkuat kuasa hari ini.

Sementara itu, Program YABC akan tetap diwujudkan menerusi penganjuran bengkel dan pertemuan serta perhimpunan belia bulan sabit merah di peringkat cawangan daerah dan di peringkat platun kadet belia sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Kokurikulum yang akan diaktifkan.

“Ini adalah untuk menjana penyediaan barisan kepimpinan belia sebagai pelapis kepada kepimpinan Majlis Kebangsaan,” jelasnya.

Beliau menyuarakan harapan, dengan pelantikan dua pemimpin belia berkenaan akan meneruskan tanggungjawab mereka untuk memimpin dan meneruskan kegiatan yang berorientasikan Program YABC seterusnya dapat menghasilkan kegiatan prototaip yang berprestij dapat diungkayahkan oleh 30 belia yang sedia ada itu.

Program selama lima hari itu dibimbing oleh tiga fasilitator yang berpengalaman luas dari Persatuan Palang Merah Singapura dan Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir.

YABC-Belia sebagai Ejen Perubahan Tingkah Laku adalah inisiatif perdana yang diwujudkan oleh Persekutuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa untuk mempromosi budaya tanpa keganasan dan memupuk kedamaian.

ARTIKEL YANG SAMA