30 anak yatim terima daging korban

30 anak yatim terima daging korban

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 14 Sept – Hampir 30 orang yang berhak telah menerima agihan daging ibadah korban, melalui Majlis Korban Balai Bomba Sungai Liang, cawangan Operasi B Bomba dan Penyelamat Daerah Belait yang berlangsung di Balai Bomba Sungai Liang, di sini, hari ini.

Agihan daging-daging ibadah korban tersebut telah disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Leftenan Kolonel (B) Awang Yahya bin Haji Abd Rahman kepada wakil-wakil penerima anak-anak yatim dari Operasi B, Operasi E, Kampung Sungai Liang, Kampung Lumut 1 dan Kampung Lumut 2.

Hadir menerima agihan daging-daging berkenaan bagi mewakili anak-anak yatim Kampung Sungai Liang, Kampung Lumut 1 dan Kampung Lumut 2 ialah penghulu dan ketua-ketua kampung berkenaan.

Ketua penyelaras majlis tersebut, Stesen Komander Balai Bomba Sungai Liang, Awang Muhamad Ali bin Hassan, memberitahu, majlis korban itu merupakan kali pertama diadakan di balai bomba berkenaan, bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha, yang juga memberikan kesempatan dan peluang kepada semua peringkat pegawai, anggota dan juga keluarga Jabatan Bomba dan Penyelamat yang ingin menyertainya.

Tetamu kehormat bersama pegawai dan anggota bomba, penghulu, ketua-ketua kampung yang menjadi wakil anak-anak yatim mukim dan kampung yang menerima agihan daging ibadah korban bergambar ramai di Balai Bomba Sungai Liang.
Tetamu kehormat bersama pegawai dan anggota bomba, penghulu, ketua-ketua kampung yang menjadi wakil anak-anak yatim mukim dan kampung yang menerima agihan daging ibadah korban bergambar ramai di Balai Bomba Sungai Liang.
Leftenan Kolonel (B) Awang Yahya ketika menyempurnakan penyerahan daging ibadah korban kepada Haji Shafiee, mewakili anak-anak yatim kampung tersebut.
Leftenan Kolonel (B) Awang Yahya ketika menyempurnakan penyerahan daging ibadah korban kepada Haji Shafiee, mewakili anak-anak yatim kampung tersebut.

Pada majlis itu, seekor kerbau telah dikorbankan pada sebelah pagi tadi di kawasan balai bomba berkenaan dan diteruskan dengan kerja-kerja pemotongan daging, menimbang dan pembungkusan.

Menurutnya, tarikh majlis ini juga bertepatan dengan ulang tahun ke-26 Balai Bomba Sungai Liang beroperasi, sehubungan itu, bacaan Doa Selamat sempena meraikannya juga telah dibacakan oleh Imam Masjid Kampung Tanjung Maya Tutong, Haji Abd Nuin bin Hassan, yang juga telah menyempurnakan penyembelihan binatang ibadah korban pada majlis itu.

ARTIKEL YANG SAMA