30 anggota ABDB atasi cabaran misi pengaman

30 anggota ABDB atasi cabaran misi pengaman

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Sept – Prestasi cemerlang seramai 30 anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang mengikuti Batalion Malaysia 850-2 (MALBATT 850-2) ketika berkhidmat dengan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di Lubanan mencerminkan keseriusan misi pengaman tersebut.

“Dengan sumbangan yang diberikan oleh anggota ini, bukan sahaja menunjukkan keberanian dan pengorbanan mereka untuk berkhidmat dalam misi pengaman tersebut malah menunjukkan profesionalisme mereka sebagai wakil negara.”

Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah berkata demikian dalam sesi temu bual semasa Upacara Ketibaan Anggota-anggota ABDB dalam MALBATT 850/2 bagi mengikuti misi UNIFIL, yang berlangsung di Dewan Gymnasium Bolkiah, Bolkiah Garison, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau juga meluahkan perasaan bangga bukan sahaja kepada kumpulan anggota yang pulang dengan selamat selepas berkhidmat dengan UNIFIL di Lubnan, hari ini, tetapi kumpulan-kumpulan sebelumnya.

Ditanya mengenai pemilihan anggota untuk mewakili negara dalam misi pengaman tersebut, beliau menyatakan, ia adalah secara sukarelawan yang dibukakan kepada semua anggota, namun perlu menjalani beberapa ujian untuk melayakkan mereka mengikuti misi tersebut.

Yang Dimuliakan Pehin Mejar Jeneral Mohd Tawih menyampaikan lencana dan beret kepada anggota yang terlibat.
Yang Dimuliakan Pehin Mejar Jeneral Mohd Tawih menyampaikan lencana dan beret kepada anggota yang terlibat.
30 anggota kontinjen ABDB yang diketuai oleh Mejar Pengiran Malik Yusri mengikuti misi pengaman tersebut.
30 anggota kontinjen ABDB yang diketuai oleh Mejar Pengiran Malik Yusri mengikuti misi pengaman tersebut.
Gambar ramai kontinjen bersama tetamu kehormat.
Gambar ramai kontinjen bersama tetamu kehormat.

“Antara ujian yang perlu dijalani itu adalah seperti ujian kecergasan fizikal, ujian akademik ketenteraan dan ujian cawangan sekuriti pertahanan diikuti dengan kelulusan daripada saya dan pihak atasan lagi,” jelas beliau.

Rombongan anggota ABDB berkenaan telah diketuai oleh Mejar Pengiran Malik Yusri bin Pengiran Haji Zaidi, yang telah menyatakan rasa syukur kerana selamat pulang ke tanah air dan berjumpa dengan keluarga yang ditinggalkan lebih kurang setahun itu.

“Cabaran yang tidak dapat dilupakan ialah apabila berlaku serangan, kami diarahkan untuk mencari perlindungan, dan cabaran itu untuk memastikan anggota ABDB berada di lokasi dan kedudukan yang selamat,” ujar beliau semasa menceritakan mengenai cabaran-cabaran ketika mengetuai pasukan ABDB ke Lubnan.

Beberapa anggota yang terlibat melepaskan kerinduan apabila kembali bertemu dengan Isteri, anak serta keluarga.
Beberapa anggota yang terlibat melepaskan kerinduan apabila kembali bertemu dengan Isteri, anak serta keluarga.

pg13_150924_e

Menurut beliau, selaku negara ahli Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), perlulah menyumbangkan sesuatu kepada pertubuhan ini walau kecil mana sekalipun terutama dalam misi keamanan sejagat.

Sementara itu, dalam temu bual bersama salah seorang anggota misi berkenaan, Kapten Abdul Mujib bin Japar memberitahu, cabaran yang dihadapi ketika berada di Lubnan adalah dari segi cuacanya.

“Cuaca adalah cabaran yang tidak dapat dilupakan, apabila cuaca terlalu sejuk dan kami perlu keluar menyelesaikan permasalahan orang-orang kampung tetapi kami semua berjaya menempuhinya dengan baik,” ujarnya.

Beliau juga berkata mereka menjalankan beberapa projek kecil-kecilan dalam membantu beberapa perkampungan di sana dalam kemudahan pendidikan seperti papan tulis serta peralatan tulis.

Penempatan kontinjen Brunei Darussalam di Lubnan sejak tahun 2008 adalah selaras dengan mandat PBB dan merupakan peluang bagi ABDB untuk menunjukkan sumbangan Brunei dalam pasukan pengaman PBB.

ARTIKEL YANG SAMA