30 atlet negara bertanding di Thailand

30 atlet negara bertanding di Thailand

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Julai – Negara Brunei Darussalam telah menghantar 30 atlet sukan bagi menyertai Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN kali ke-8 yang berlangsung sehingga 29 Julai 2016 di Chiang Mai, Thailand.

Sehubungan itu, Majlis Penyerahan Bendera Negara bagi kontinjen negara itu telah diadakan di ruang berlepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Berakas hari ini.

Hadir bagi menyempurnakan penyerahan bendera tersebut kepada Pemangku Pengarah Jabatan Pentadbiran dan Perkhidmatan-Perkhidmatan, Kementerian Pendidikan, Pengiran Haji Rosli bin Pengiran Haji Halus selaku ketua rombongan ialah Ketua Pengarah Pendidikan, Kementerian Pendidikan, Haji Abdul Rahim bin Derus.

Pengiran Haji Rosli semasa ditemui menjelaskan peserta dalam kejohanan ini telah dipersiapkan dengan pelbagai latihan intensif yang dijalankan di dalam negara.

Ketua Kontinjen Pengiran Haji Rosli menerima bendera negara dari  Haji Abdul Rahim.
Ketua Kontinjen Pengiran Haji Rosli menerima bendera negara dari Haji Abdul Rahim.

Jelasnya lagi latihan yang dilaksanakan sejurus selesai Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN kali ke-7 yang diadakan di negara ini tahun lepas itu dilaksanakan bersama jurulatih yang dilantik serta pengurus pasukan.

“Pada kejohanan kali ini, negara akan menyertai dua acara sukan dari 11 acara sukan yang dipertandingkan iaitu sukan olahraga dan sukan sepak takraw”, jelasnya.

Beliau seterusnya berharap melalui latihan yang telah dijalankan itu, peserta negara akan dapat meraih pingat dalam dua acara sukan yang disertai dalam kejohanan kali ini seperti yang dihasratkan.

Negara Brunei menjadi tuan rumah pada tahun 2015 dalam kejohanan ini, di mana peserta negara berjaya mencapai kejayaan yang cemerlang dengan mendapat satu pingat emas buat julung kalinya dalam acara Pencak Silat.

Pada kejohanan kali ini, sebanyak sembilan buah negara terlibat termasuk Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam, di mana kejohanan tersebut akan diadakan di 700th Aniversary Sports Complex Gymnasium, Thailand.