30 belia tamat program pembangunan

30 belia tamat program pembangunan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Mac – Seramai 30 orang belia berusia antara 16 dan 28 tahun telah berjaya menamatkan program pembangunan kapasiti belia, Latihan bagi Pembangunan Pasukan dan Kepimpinan Belia (TTYL) yang diadakan di Kompleks Sukan Sungai Kebun bermula 25 hingga 27 Mac lalu.

Program anjuran bersama Majlis AIDS Brunei Darussalam (BDAC) dan Kelab Penyinar, BDAC, dengan sokongan Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan untuk membangunkan keupayaan pendidikan belia sebaya dalam bidang pengurusan pasukan.

Program ini juga membantu kemahiran penyampaian, menanam semangat keyakinan para belia dalam kedudukan pengurusan, meningkatkan semangat kerja berpasukan dalam kalangan ahli kumpulan serta mengenal pasti kemahiran kepimpinan yang efektif dan prinsip kepimpinan.

Pada majlis penutup latihan, para peserta menerima sijil yang disampaikan oleh Presiden Majlis AIDS Brunei Darussalam, Awang Iswandy Ahmad.

Awang Iswandy bergambar ramai bersama kumpulan belia yang berjaya menamatkan program latihan pembangunan TTYL, baru-baru ini.
Awang Iswandy bergambar ramai bersama kumpulan belia yang berjaya menamatkan program latihan pembangunan TTYL, baru-baru ini.

Pengurus projek program latihan, Dayang Najihah Latif berkata para peserta yang berjaya menamatkan program itu akan lebih berkeyakinan untuk memainkan peranan mereka sebagai pemimpin pelajar atau belia dalam melaksanakan tugas dan menabur bakti kepada masyarakat.

Sementara itu, Kapten Kelab Penyinar, Awang Mohd Rafee Isa, yang juga ahli jawatankuasa TTYL berkata salah satu peranan yang dimainkan oleh ahli kelab ialah untuk menjadi rakan sebaya belia dalam menyampaikan maklumat dan ceramah mengenai isu-isu sosial seperti HIV/AIDS, kehamilan remaja perempuan, langkah-langkah pencegahan dan penyakit-penyakit kelamin.

Beliau berkata sebagai seorang belia, beliau begitu yakin bahawa kesedaran awal dan memperkasakan diri adalah amat penting di mana isu-isu sosial perlu ditangani dengan telus dan tidak sepatutnya disembunyikan.

ARTIKEL YANG SAMA