30 dikhuatiri hilang dalam bot karam

30 dikhuatiri hilang dalam bot karam

ATHENS, 20 Sept (AFP) – Hampir 30 penghijrah dikhuatiri hilang di perairan pulau Lesbos, Greek, menurut pengawal pantai hari ini, dalam kejadian terbaru bot karam dalam tragedi Laut Aegean yang telah mengorbankan ratusan jiwa.

Menurut pengawal pantai ia telah menyelamatkan 20 orang yang dilihat di dalam air dari helikopter agensi sempadan EU, Frontex, tetapi mereka yang terselamat berkata 26 orang lagi berada di dalam bot itu.

Agensi berita kerajaan ANA melaporkan bahawa kanak-kanak antara yang hilang, tetapi pengawal pantai enggan mengulas.

Semalam, seorang budak perempuan Syria berusia lima tahun terkorban dalam satu lagi cubaan menyeberang dari Tukri ke Greece, dan tidak ada berita tentang dua belas orang lagi yang berada di dalam bot bersama budak perempuan itu.

Kemalangan berlaku lagi di timur pulau Lesbos, salah sebuah kepulauan Greek yang telah menyaksikan pengaliran masuk ramai orang pelarian dari Syria yang dicengkam peperangan tahun ini.

Ramai telah terkorban dalam cuba untuk menyeberangi Laut Aegean dalam mencari masa depan lebih baik di Eropah.

Beberapa hari kebelakangan para penghijrah pergi ke sempadan darat Turki dengan Greece dan Bulgaria untuk mengelak pelayaran laut yang telah mengorbankan lebih 2,600 orang di Mediterranean tahun ini.

Greece telah menyaksikan lebih 300,000 orang pelarian dan penghijrah memasuki negara itu tahun ini, kebanyakan mereka melalui negara-negara Eropah lain.