30 Jun tarikh akhir hantar penyata belanja pilihan raya Sarawak

30 Jun tarikh akhir hantar penyata belanja pilihan raya Sarawak

KUCHING, 13 Jun (Bernama) – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh akhir calon/ejen pilihan raya menghantar penyata berkenaan dengan belanja pilihan raya adalah pada 30 Jun 2016.

Pengarah Pilihan Raya Negeri Sarawak Datuk Takun Sunggah berkata keputusan penuh Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-11 telah disiarkan dalam Warta Kerajaan Persekutuan P.U [B] 267 bertarikh 30 Mei 2016.

Menurutnya Seksyen 23(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 menyatakan ‘Dalam tempoh 31 hari selepas tarikh keputusan sesuatu pilihan raya disiarkan dalam warta, tiap-tiap calon atau ejen pilihan raya hendaklah menyerahkan suatu penyata yang benar, dalam akta ini disebut ‘penyata berkenaan dengan belanja pilihan raya’ kepada Pegawai Pilihan Raya Negeri Sarawak.

Penyata berkenaan hendaklah dibuat dalam Borang B yang ditandatangani oleh calon/ejen pilihan raya dengan disertakan resit-resit asal perbelanjaan di samping Borang C yang ditandatangani oleh calon dan Borang D yang ditandatangani oleh ejen pilihan raya.

“Ini bermakna tarikh akhir setiap calon/ejen pilihan raya menghantar penyata berkenaan adalah 30 Jun 2016, katanya.