30 kanak-kanak maut dijangkiti penyakit

30 kanak-kanak maut dijangkiti penyakit

YANGON, Myanmar, 4 Ogos – Kira-kira 30 kanak-kanak meninggal dunia di barat laut Myanmar sejak pertengahan Jun akibat satu penyakit tidak diketahui yang menyebabkan kesukaran bernafas, menurut para pegawai hari ini.

“Kami berdepan dengan masalah ini sejak dua bulan lalu dan belum lagi menerima sebarang bantuan daripada kerajaan,” kata pentadbir tempatan, Kay Sai.

Menurutnya, kematian itu telah dicatatkan di bandar Nanyun dan Lahe di rantau Naga, salah satu rantau termiskin di negara itu, terletak kira-kira 1,300 kilometer dari Yangon, bersempadan dengan negeri Nagaland, India. Menurutnya hampir kesemua mangsa berusia di bawah lima tahun.

Kay Sai berkata para pegawai tidak dapat mengenal pasti punca penyakit itu, yang kelihatannya berjangkit. Sampel darah telah dihantar ke hospital di bahagian Saggaing dan keputusannya masih lagi dinantikan. Belum ada respons dari Kementerian Kesihatan, mahupun Jabatan Pencegahan Penyakit Berjangkit akibat penularan itu.

Menurutnya, pihak berkuasa tempatan telah menangguhkan sementara orang ramai dari membuat perjalanan bagi mencegah penjangkitan itu.

Kawasan Naga merupakan sebahagian daripada Myanmar yang kurang dibangunkan dan benar-benar diabaikan dengan ketiadaan penjagaan kesihatan asas, pendidikan dan infrastruktur.

Law Yone, seorang penggubal undang-undang tempatan perbandaran Lahe, berkata rantau itu mengalami ketidakcukupan pengangkutan, jumlah pekerja kesihatan dan perubatan yang kurang. – AP

ARTIKEL YANG SAMA