30 kilogram bom buatan sendiri dirampas

30 kilogram bom buatan sendiri dirampas

PATTANI, 11 Feb – Pasukan keselamatan Thailand merampas bom buatan sendiri dan bahan letupan serta pelbagai peralatan lain selepas insiden berbalas tembakan dengan sekumpulan lelaki di sebuah pondok membuat bom di Kampung Pao, Nongchik di wilayah bergolak Pattani.

Ketua Polis Pattani Maj Jen Thanongsak Wangsupa berkata, kejadian tembak-menembak selama 10 minit itu berlaku kira-kira 11 pagi semalam apabila lima lelaki yang berada di dalam pondok itu menyedari kehadiran anggota pasukan keselamatan.

“Pasukan keselamatan menemui sebutir bom buatan sendiri seberat 30 kilogram yang sedia digunakan bila-bila masa, serta beberapa tong gas seberat 15 kilogram dan bahan letupan serta peralatan lain.

“Namun, apa yang lebih memeranjatkan adalah penemuan sejumlah baja Urea di pondok itu yang boleh menghasilkan 30 butir bom buatan sendiri, masing-masing seberat 15 kilogram serta pelan serangan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut Thanongsak, dalam operasi keselamatan diketuai Komander Renjer Angkatan Renjer Wilayah Sempadan Mejar Poch Nuanbun itu mereka telah menangkap seorang daripada lelaki terbabit dikenali sebagai Sabari Chek Ali, 30.

Empat lelaki lain dapat melepaskan diri dalam operasi keselamatan yang disertai kira-kira 100 anggota pasukan keselamatan Thailand yang turut menggunakan bot dan helikopter.

Sabari, yang ditahan Rabu malam menurut beliau, dikenal pasti terlibat secara aktif dalam gerakan pembebasan di wilayah Nongchik.

Pihak keselamatan juga percaya seorang daripada mereka yang melepaskan diri itu merupakan pakar bom gerakan pembebasan selatan Thai dikenali Seri Waemamud yang bergerak aktif di Nongchik dan Khokpo di Pattani dan Tepa di Songkhla, menurut beliau.

“Operasi untuk memburu keempat-empat mereka yang melepaskan diri dalam kejadian malam Rabu itu telah diperhebatkan,” katanya dan menambah, pasukan keselamatan Thai mengepung kawasan sekeliling lokasi kejadian dalam usaha memburu.

Pondok membuat bom itu terletak di tengah-tengah kawasan hutan bakau di kampung berkenaan dan pasukan keselamatan menurut Thanongsak, terpaksa menggunakan bot untuk sampai ke lokasi kejadian. Ia terletak berasingan daripada kawasan penduduk kampung lain. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA