30 korban runtuhan tanah

30 korban runtuhan tanah

KOLKATA, 1 Julai (AFP) – Runtuhan tanah yang dicetuskan oleh hujan lebat membunuh sekurang-kurangnya 30 orang di seluruh rantau penanaman teh yang terkenal di India, Darjeeling, dengan lebih ramai dikhuatiri terperangkap di bawah timbunan lumpur dan runtuhan, kata polis hari ini.

Anggota menyelamat sedang menggali menerusi runtuhan menggunakan tangan dan peralatan asas untuk mencari penduduk selepas runtuhan tanah semalaman melanda rumah yang dibina di lereng bandar Mirik, Kalimpong dan Darjeeling di negeri Barat Bengal.

“Sekurang-kurangnya 30 mayat – 17 dikeluarkan daripada runtuhan tanah di Mirik, 11 di Kalimpong dan dua berhampiran bandar Darjeeling. Lebih daripada 20 orang cedera,” kata ketua inspektor polis Bengal Barat Anuj Sharma.

Sekitar 2,000 orang telah dipindahkan dan diselamatkan dari tapak runtuhan dengan lebih banyak pengerahan tentera dijangka.

“Runtuhan tanah juga merobohkan beberapa buah rumah di cerun bukit,” beritahunya kepada AFP dari ibu negeri Kolkata.

Antara mayat yang terkorban dalam runtuhan tanah yang dikumpulkan di sebuah bilik di Hospital Kerajaan Mirik, India. – AFP
Antara mayat yang terkorban dalam runtuhan tanah yang dikumpulkan di sebuah bilik di Hospital Kerajaan Mirik, India. – AFP

“Kami bimbang ramai orang tertimbus di bawah runtuhan.”

Agensi berita Press Trust India berkata 18 orang terbunuh di kawasan bukit, menambah kata beberapa runtuhan tanah juga telah memutuskan talian telefon dan jalan raya.

Seorang lagi pegawai menggambarkan lumpur dan air mengalir turun dari bukit di Mirik, sebuah bandar pelancong kecil, dan stesen bukit Kalimpong di kawasan utara.

“Aliran lumpur dan air memusnahkan segala yang berada di haluannya di Mirik dan Kalimpong,” beritahu penguasa polis daerah Darjeeling, Amit P Javalgi, kepada AFP.

“Hujan masih turun di bukit Darjeeling. Kerja-kerja menyelamat masih diteruskan,” kata beliau.

Daerah Darjeeling, tempat tarikan pelancong yang terkenal dengan ladang teh hijau, terletak kira-kira 600 kilometer dari utara Kolkata.

Banjir dan runtuhan tanah melanda negara Asia Selatan itu setiap tahun ketika musim monsun.

Di kawasan barat di negeri Gujarat, banjir yang dicetuskan oleh hujan tahunan pada minggu lalu meninggalkan sekurang-kurangnya 55 orang terbunuh.