30 maut dalam serangan di Nigeria

30 maut dalam serangan di Nigeria

LAGOS, 6 Julai (AFP) – Sekurang-kurangnya 30 terbunuh dalam serangan terbaharu seorang lelaki bersenjata tidak dikenali di Birnin-Magaji, Zamfara, barat laut Nigeria hari ini.

Pengerusi Kerajaan Tempatan, Muhammad Gusami, yang mengesahkan jumlah korban itu berkata serangan berlaku di perkampungan Kokeya dan Chigama.

Beliau berkata, lelaki bersenjata itu memasuki perkampungan Kokeya menggunakan motosikal dan membunuh dua penduduk serta membakar beberapa rumah dan ternakan penduduk.

Penyerang sama dikatakan muncul semula beberapa hari selepas itu di perkampungan jiran di Chigama dan membunuh lebih 30 orang yang mayat mereka masih ditemui di sekitar kawasan belukar.

Gusami berkata, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Besar Birnin-Magaji.

Sementara itu, jurucakap polis Zamfara, Sanusi Amiru, berkata pasukan polis dan tentera sudah dikerah ke kawasan kejadian untuk menyiasat lebih lanjut.

Polis Negeri Yobe hari ini mengesahkan enam orang disahkan maut dalam satu serangan bom nekad di sebuah gereja di bandar komersial, Potiskum.

Mereka yang maut termasuk pengebom berani mati berkenaan, Toyin Gbadegesin, demikian menurut polis yang dipetik agensi berita Xinhua.

Penyerang meletupkan bom yang dipasang di badannya di Gereja Redeem di Jigawa, menyebabkan lima mati serta-merta di tempat kejadian.