30 Muslimah Masjid RIPAS khatam Al-Quran

30 Muslimah Masjid RIPAS khatam Al-Quran

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Okt – Kira-kira 30 orang Muslimah Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (RIPAS), Kampung Rimba telah diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di masjid berkenaan, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah isteri Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Hajah Sarimah binti Haji Abu Bakar yang juga memimpin bacaan Surah Al-Fatihah.

Majlis diteruskan dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta khatam, disusuli dengan bacaan Takhtim oleh Kumpulan Husna Nurulain dan Doa Khatam yang telah dibacakan oleh Hajah Dayang binti Haji Salleh.

Para peserta khatam Al-Quran yang diraikan pada majlis itu.
Para peserta khatam Al-Quran yang diraikan pada majlis itu.

Kemudian, majlis juga diserikan lagi dengan laungan Dikir Marhaban yang dibawakan oleh Kumpulan Husna Nurulain.

Acara diteruskan lagi dengan majlis merenjis minyak wangi kepada para peserta khatam dan penyampaian sijil yang telah disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.

Majlis Khatam Al-Quran yang diadakan buat kali kedua anjuran Muslimah Masjid RIPAS ini bertujuan untuk memupuk rasa cinta terhadap Al-Quran dalam mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.