30 pasukan sertai Kejohanan Street Soccer

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 11 Okt – Bagi memeriahkan lagi acara Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta bagi peringkat Daerah Belait, Syarikat RYS dan Kelab Bola Sepak Panaga 2000 telah menganjurkan Kejohanan Street Soccer di sepanjang bulan ini bermula pada hari Jumaat minggu lepas.

Kejohanan itu membukakan sebanyak empat kategori perlawanan iaitu Kategori A bagi peserta di bawah umur 13 tahun, Kategori B yang berusia 15 tahun, Kategori Terbuka dan Kategori Veteran.

Kejohanan itu diadakan di kawasan Tudung Saji disini, dan ia akan diadakan mengikut hari dan tarikh giliran setiap kumpulan masing-masing yang telah ditetapkan oleh penganjur.

Antara pasukan yang menyertai Kejohanan Street Soccer tersebut yang diadakan di kawasan Tudung Saji, Daerah Belait.

Sebanyak 30 pasukan telah mendaftar bagi kejohanan tersebut, yang antara lain bertujuan untuk meningkatkan lagi mutu sukan bola sepak terutama di Daerah Belait, dan juga bagi merebut Piala Jubli Emas kejohanan tersebut.

Ia juga bertujuan untuk menyuntik semangat kesukanan dan juga mengetengahkan cara hidup yang sihat di kalangan masyarakat setempat, terutama sekali di kalangan belia.