30 pegawai tentera tamat Kursus Maktab Turus

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Okt – Seramai 30 orang pegawai dari dalam dan luar negara telah berjaya menamatkan Kursus Maktab Turus 2017 (CSC 2017) Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan menerima sijil masing-masing pada majlis yang berlangsung di Auditorium Akademi Pertahanan ABDB, hari ini.

Penyampaian sijil telah disempurnakan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Kapten (B) Dato Paduka Abdul Rahman bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar selaku tetamu kehormat majlis.

Turut hadir di majlis itu ialah Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei (PDB), Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al-Islam, pemerintah-pemerintah angkatan tentera, pesuruhjaya-pesuruhjaya tinggi, duta-duta luar negara dan perwakilan kedutaan luar negara di Negara Brunei Darussalam, penasihat-penasihat dan atase pertahanan di Negara Brunei Darussalam, timbalan-timbalan setiausaha tetap, timbalan pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN), para komandan, pengarah, pegawai kanan dan ahli keluarga para peserta kursus.

Para peserta kursus berkenaan terdiri daripada 15 orang pegawai dari ABDB, seorang pegawai dari PDB dan seorang pegawai dari JKDN, Jabatan Perdana Menteri manakala itu, 13 lagi merupakan pegawai tentera dari Australia, Bangladesh, Republik Rakyat China, India, Republik Indonesia, Malaysia, New Zealand, Oman, Pakistan, Filipina, Singapura, Thailand dan Amerika Syarikat.

Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan hadir selaku tetamu kehormat di majlis tersebut.
Singapura menerima Anugerah RBAF CSC Commendation yang disampaikan oleh Kapten (B) Dato Paduka Abdul Rahman.
Kapten (B) Dato Paduka Abdul Rahman menyampaikan Anugerah RBAF CSC Overall Excellence kepada Mejar Justin A. Hooker dari Kor Marin Amerika Syarikat.
Antara yang hadir di majlis penyampaian sijil tamat Kursus Maktab Turus 2017 (CSC 2017).

Majlis berkenaan turut menyaksikan penyampaian tiga anugerah khas kepada pegawai-pegawai yang mendapat keputusan cemerlang iaitu Anugerah RBAF CSC Commendation kepada Leftenan Kolonel Ng Yen Meng dari Tentera Laut Singapura; Massey University’s Academic Excellence Award kepada Mejar Keiran Vidal dari Australian Army; dan RBAF CSC Overall Excellence kepada Mejar Justin A. Hooker dari Kor Marin Amerika Syarikat.

CSC merupakan kursus akademik kerjasama yang dikendalikan bersama oleh Universiti Massey New Zealand yang dijalankan selama 40 minggu, terdiri daripada 37 minggu pengajaran yang dijadualkan dalam tiga semester. Kursus tersebut bertanggungjawab untuk menyampaikan komponen akademik Kursus ‘Tri-service’ yang bergabung.

Matlamat kursus adalah bagi meluaskan pengetahuan profesional dan akademik dalam kemahiran pentadbiran, analisis dan komunikasi dalam kalangan pegawai peringkat pertengahan bagi persediaan persiapan mereka untuk menjadi pentadbir dan pegawai pemerintah di peringkat yang lebih tinggi.