30 pelajar khatam dirai

30 pelajar khatam dirai

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Sept – Seramai 30 pelajar, termasuk 10 pelajar lelaki, Sekolah Ugama (SU) Batu Marang Brunei II B, hari ini diraikan pada Majlis Khatam Al-Quran bagi Murid-murid Darjah 6 sekolah berkenaan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ketua Unit Sekolah Arab-Kokurikulum, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Hajah Hamdiah binti Haji Salleh.

Turut hadir ialah Pemangku Guru Besar SU Batu Marang, Awang Yusri bin Haji Abul Tahir serta para guru dan pelajar sekolah berkenaan.

Menurut Penolong Guru Akademik sekolah tersebut, Awang Azame bin Alias, majlis itu adalah yang ke-11 diadakan yang mana sebelumnya majlis itu diadakan secara gabungan dengan empat buah sekolah lain di Zon Brunei II memandangkan jumlah murid yang diraikan tidak begitu ramai.

Pemangku Guru Besar (dua kanan) bersama tetamu kehormat menyaksikan Majlis Khatam Al-Quran.
Pemangku Guru Besar (dua kanan) bersama tetamu kehormat menyaksikan Majlis Khatam Al-Quran.
Para peserta khatam Al-Quran membaca surah lazim.
Para peserta khatam Al-Quran membaca surah lazim.
Bacaan takhtim oleh pelajar perempuan sekolah berkenaan.
Bacaan takhtim oleh pelajar perempuan sekolah berkenaan.

Bagaimanapun, menurutnya lagi, sejak dua tahun kebelakangan ini, SU Batu Marang meraikan murid-muridnya sendiri ekoran semakin ramai murid sekolah itu yang khatam Al-Quran.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh tetamu kehormat majlis, diikuti dengan bacaan surah-surah oleh peserta khatam dan bacaan takhtim oleh murid perempuan Darjah 4 dan 5.

Ini diikuti dengan bacaan Doa Khatam oleh Awang Muhd Rafiuddin bin Roslan, Dikir Asyrakal oleh murid-murid lelaki Darjah 4 dan 5 serta upacara merenjis wangi-wangian dan penyampaian sijil khatam oleh tetamu kehormat majlis.

ARTIKEL YANG SAMA