30 pelajar selesai jalani program penempatan kerja

30 pelajar selesai jalani program penempatan kerja

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jun – Seramai 30 orang yang terdiri daripada penuntut Tahun 10 dan 11 Sekolah Menengah (SM) Rimba II berjaya menamatkan program penempatan kerja di bawah inisiatif ‘Youth Right Career Path’ anjuran Global Shapers Bandar Seri Begawan (BSB) Hub.

Program tersebut bertujuan memberikan pendedahan kepada para belia terhadap alam pekerjaan sebenar yang menyaksikan penyertaan 15 buah pertubuhan daripada pelbagai sektor.

Sebelum penempatan kerja, Global Shapers BSB Hub menganjurkan sesi kaunseling kerjaya bersama penuntut di mana kakitangan pusat memberikan pandangan tentang industri tempat mereka bertugas, kemahiran yang diperlukan dan jangkaan majikan terhadap pekerjanya.

Kakitangan juga melakukan tinjauan terhadap penuntut untuk mengukur minat, hasrat dan kemahiran yang sesuai dan tepat dengan organisasi ketika penempatan kerja.

Para pelajar bergambar ramai selepas tamat menjalani program latihan kerja.
Para pelajar bergambar ramai selepas tamat menjalani program latihan kerja.

Awang Mohd Haslihuddin bin Husin yang berhasrat untuk menghasilkan video dalam Youtube dan melakukan penempatan kerja di UBD TV berkata, “Saya belajar banyak mengenai program pembikinan filem, bagaimana untuk menggunakan kamera dan bagaimana untuk mengedit video. Saya juga membantu mereka menyediakan kamera dan dekorasi bagi temu bual.” Ditanya mengenai tahap pengalaman daripada skala 1 sehingga 10, dia berkata 10 kerana program itu banyak membantunya. “Ia pengalaman yang menarik dan saya dapat belajar bagaimana untuk mendapatkan pekerjaan,” katanya.

Seorang lagi penuntut, Dayang Nurul Ernyzan binti Mohd Norhadi melakukan penempatan kerjanya di Bake Culture. Berdasarkan pengalamannya, dia menyatakan (pada hari pertama) bagaimana dia merasa malu, takut dan gentar untuk melayan pelanggan.

“Pada hari kedua, saya belajar bagaimana untuk membuat roti dan kek dan merasa lebih yakin dengan pelanggan,” kata Dayang Nurul. Dia juga meletakkan ranking pengalaman pembelajarannya 10, dan menyuarakan keyakinan dan kegembiraan bekerja di Bake Culture.

ARTIKEL YANG SAMA