30 pelajar sertai cabaran IET

30 pelajar sertai cabaran IET

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 1 April – Institusi Kejuruteraan dan Teknologi Brunei (IET) seksyen Profesional Muda bersama dengan Pusat Penemuan Minyak dan Gas (OGDC) telah menganjurkan Pertandingan Cabaran IET Faraday Do-It-Yourself ‘Mission To Mars’ yang terbuka bagi pelajar-pelajar Tahun 7 hingga 9 berusia 15 tahun ke bawah dari Sekolah Seri Mulia Sarjana.

Aktiviti cabaran itu antara lain bertujuan untuk memberikan peluang penyelidikan, reka bentuk dan membuat penyelesaian prototaip bagi masalah kejuruteraan.

Ia sejajar dengan wawasan dan misi IET Brunei dalam menggalakkan kemajuan umum sains, kejuruteraan dan teknologi serta bagi memudahkan pertukaran maklumat dan idea mengenai subjek tersebut kepada orang ramai terutama para pelajar.

Lebih 30 orang pelajar telah menyertai aktiviti cabaran yang berlangsung Sabtu lalu di Sekolah Seri Mulia Sarjana, Bandar Seri Begawan, dengan para peserta dibahagikan kepada enam kumpulan yang diwakili oleh seramai enam orang bagi setiap sekumpulan.

Aktiviti yang dijalankan adalah berdasarkan aktiviti IET Faraday Challenge sekolah menengah yang pernah diadakan di United Kingdom sebelum ini.

Gambar ramai Simon Leong Kian Ann (paling kiri) bersama pemenang Cabaran IET Faraday Do-It-Yourself ‘Mission To Mars’.
Gambar ramai Simon Leong Kian Ann (paling kiri) bersama pemenang Cabaran IET Faraday Do-It-Yourself ‘Mission To Mars’.

Peserta diberikan tugas sebagai pakar jurutera yang direkrut oleh syarikat olok-olok dinamakan Make it 2 Mars untuk mewujudkan penempatan manusia di Planet Marikh menjelang 2023.

Selain daripada itu, peserta diminta untuk membentuk serta membina sebuah roket yang digunakan sebagai pengangkutan bekalan melalui orbit bumi menuju ke angkasawan di Marikh, serta membina satu sistem untuk mengangkut roket mereka ke tapak pelancaran untuk ujian.

Semua latihan tersebut dihasratkan untuk memberikan wawasan dalam berperanan dan tanggungjawab sebagai pasukan kejuruteraan kerana mereka bukan sahaja cuba mencipta prototaip tetapi terpaksa mewajarkan idea-idea mereka, serta kos dan pelan perlaksanaan kepada para hakim.

Cabaran ini juga menggalakkan pembangunan penyelesaian masalah, kerja berpasukan dan kemahiran komunikasi pelajar.

Hadiah sejumlah $120 diberikan kepada pemenang pertandingan yang telah disampaikan oleh Pengerusi IET Brunei Darussalam bagi sesi 2014-2016, Awang Simon Leong Kian Ann.