30 pelancong kunjungi Rumah Panjang Teraja

30 pelancong kunjungi Rumah Panjang Teraja

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 23 Feb – Rumah Panjang Teraja terus menjadi tarikan kalangan pelancong yang datang ke negara ini, terutama kepada mereka yang berhasrat untuk menikmati keindahan semula jadi Wasai Teraja di Ulu Labi.

Ketibaan lebih 30 orang pelancong yang diketuai oleh pemandu pelancong dari SAKAM Enterprise iaitu Awang Bohari bin Abdullah itu telah dialu-alukan oleh Pengerusi Rumah Panjang berkenaan, Awang Burong Nyanggau dan Ketua Biro Wanita Dayang Embung Munah.

Pada lawatan itu, para pelancong bukan saja meluangkan masa beramah mesra dengan penghuni rumah panjang namun sempat membawa buah tangan daripada hasil kraf tangan yang dihasilkan serta berpeluang dibawa menyaksikan keindahan alam semula jadi Wasai Teraja.

Kalangan pelajar ITB dan para pelancong semasa lawatan ke Rumah Panjang Teraja, Ulu Labi.
Kalangan pelajar ITB dan para pelancong semasa lawatan ke Rumah Panjang Teraja, Ulu Labi.
Antara pelancong yang mendengar taklimat mengenai Wasai Teraja dan budaya kehidupan penghuni di rumah panjang tersebut.
Antara pelancong yang mendengar taklimat mengenai Wasai Teraja dan budaya kehidupan penghuni di rumah panjang tersebut.

Mengiringi sama rombongan tersebut ialah kalangan pelajar Institut Teknologi Brunei (ITB) yang juga berhasrat ingin mengenali secara lebih dekat budaya dan tradisi penghuni di rumah panjang tersebut selain untuk meningkatkan pengetahuan dan pengalaman mereka.

Sebagai mengetengahkan tradisi dan budaya mereka, penghuni rumah panjang tersebut juga telah menyediakan hidangan tradisional yang terkenal dalam kalangan masyarakat Iban iaitu Ayam Pansuh dalam buluh dan umbut Luba.

ARTIKEL YANG SAMA