30 pemain sertai Kejohanan Badminton Kampung Danau

30 pemain sertai Kejohanan Badminton Kampung Danau

Oleh Sim Y. H.

 

TUTONG, 1 Mei – Seramai 30 orang pemain dari pelbagai peringkat umur telah beraksi dalam Kejohanan Badminton Pengguna Dewan Kemasyarakatan Kampung Danau, anjuran Majlis Perundingan Kampung Danau, Tutong yang bermula sejak 12 April.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Pegawai Pemerintah Operasi ‘E’, Bomba dan Penyelamat Daerah Tutong, SSFR Haji Tahir bin Haji Muktal.

Pengerusi Majlis, Awang Umar Ali bin Haji Ismail dalam kata alu-aluannya menyatakan kejohanan itu bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim di kalangan pemain bukan sahaja terdiri dari Kampung Danau dan kampung-kampung yang lain.

Ia juga dihasratkan untuk menggalakkan para peserta bersukan sambil berhibur di samping untuk menjaga kesihatan badan dan mendedahkan pemain baru dengan suasana permainan.

Timbalan Pengerusi MPK Danau, Tutong, Haji Abdullah bin Haji Md Tahir dalam ucapannya menyokong penuh hasrat pemain untuk mengadakan acara seperti ini dan sukan lain dengan menggunakan kemudahan dan ruang Dewan Kemasyarakatan Kampung Danau.

Peserta kejohanan bergambar bersama tetamu kehormat.
Peserta kejohanan bergambar bersama tetamu kehormat.

Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang kejohanan oleh Haji Tahir. Johan pertandingan ini ialah Awang Repin bin Haji Angkis dan Awang Ahmad bin Marsal yang membawa pulang hadiah berupa voucher bernilai $240 sumbangan Awang Hilmi bin Abdullah.

Tempat Kedua yang membawa pulang hadiah berupa raket setiap seorang telah dimenangi oleh Awang Hisyam bin Haji Matnor dan Awang Saidatullah bin Salleh manakala tempat ketiga dimenangi oleh Awang Muhammad Zuhar bin Hamir dan Awang Umar Ali bin Haji Ismail, masing-masing membawa pulang beg badminton setiap seorang.

Hadiah tempat kedua dan ketiga adalah sumbangan Awang Abdul Hakim bin Md Edham. Tempat keempat turut mendapat hadiah sagu hati sumbangan Awang Hilmi bin Abdullah berupa satu tiub bulu tangkis Ashaway setiap seorang yang dimenangi oleh Awang Abdul Rashid bin Haji Hamdan dan Awang Muhammad Shariffuddin Shah bin Razali.