30 peserta sertai kursus SEACEN

30 peserta sertai kursus SEACEN

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Mei – Seramai 30 orang peserta dari bank-bank pusat serantau dan antarabangsa termasuk pegawai-pegawai dari Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) telah menyertai SEACEN Intermediate Course for Bank Examiners dari 8 hingga 13 Mei di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong.

Kursus dengan kerjasama Pusat Penyelidikan dan Latihan Bank Pusat Asia Tenggara (SEACEN) itu memfokuskan kepada peningkatan kecekapan teknikal dan tingkah laku para peserta termasuk tumpuan kepada penganalisaan kredit, pengurusan risiko, penilaian kestabilan bank secara keseluruhan dan prospek masa depan bank tersebut.

Dari segi peningkatan kecekapan tingkah laku, kursus ini memberi tumpuan kepada keupayaan peserta untuk menghasilkan laporan kepada lembaga pengarah atau pihak pengurusan dan mendapatkan komitmen bagi tindakan pemulihan yang diperlukan.

Selain itu, kursus ini juga diadakan bagi memberi pendedahan kepada teknik pemeriksaan bank yang lebih terkini; untuk meningkatkan pengetahuan, kepakaran dan penilaian bagi membolehkan mereka melaksanakan tugas dengan lebih efektif; dan untuk meningkatkan pengetahuan dan kepakaran bagi membolehkan mereka mengajar dan membimbing mereka yang kurang berpengalaman dalam hal tersebut.

SEACEN ditubuhkan pada tahun 1982 dengan mempunyai lapan ahli bank pusat atau autoriti monetari dan telah berkembang kepada 20 ahli tahun lepas.

Sejak penubuhannya, SEACEN telah melaksanakan pelbagai program pembelajaran, kerja-kerja penyelidikan dan platform rangkaian serta kerjasama yang unik untuk membina keupayaan ahlinya dalam pengetahuan perbankan pusat.

ARTIKEL YANG SAMA