30 sertai ekspedisi berbasikal

30 sertai ekspedisi berbasikal

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 17 Jan – Seramai 30 orang terdiri daripada penggemar aktiviti berbasikal telah menyertai Ekspedisi Berbasikal Riadah dan Sukan anjuran Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (PMMPMHAMB) Tutong, hari ini.

Ekspedisi berbasikal kira-kira 30km itu yang diketuai oleh Awang Mohd Danil bin Haji Othman bermula dari Pusat Kesihatan Lamunin, Tutong menuju ke Tasek Merimbun dan kemudiannya kembali ke Pusat Kesihatan Lamunin.

Salah seorang wakil rombongan ekspedisi itu berkata, acara tersebut melibatkan sebahagian daripada kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR), Bukit Barun dan belia-belia Kampung Bukit Bang Dalam, Tutong dan kakitangan Hospital PMMPMHAMB.

Juga ikut serta dalam memeriahkan lagi suasana ekspedisi berbasikal tersebut ialah salah seorang daripada kalangan warga emas, Awang Bob Ali, 60, yang telah mula aktif bergiat dalam sukan berbasikal sejak tahun 1967.

Antara sebahagian peserta yang menyertai ekspedisi riadah berbasikal itu.
Antara sebahagian peserta yang menyertai ekspedisi riadah berbasikal itu.

Ekspedisi ini bertujuan bagi mengumpul para peminat aktiviti berbasikal, di samping dapat mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk kepentingan kesihatan dalam kalangan mereka.

Pertama kali diadakan, ekspedisi ini diharap akan diteruskan dan disokong oleh pelbagai pihak dalam membudayakan gaya hidup dan tubuh badan yang sihat.

ARTIKEL YANG SAMA