30 sertai SBYLEP 2015 di Brunei

30 sertai SBYLEP 2015 di Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Okt – Seramai 30 pemimpin belia dari Republik Singapura dan Brunei Darussalam, mengikuti Program Pertukaran Kepimpinan Belia Singapura-Brunei (SBYLEP 2015), yang berlangsung di negara ini bermula hari ini (5 Oktober) hingga 9 Oktober.

Program yang julung-julung kalinya diadakan di Brunei selepas yang pertama diadakan di Singapura tahun lalu ini, bertujuan untuk mengukuhkan hubungan dua hala di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura dengan mempromosikan kesefahaman dan meningkatkan silaturahim dalam kalangan para belia yang merupakan pemimpin generasi akan datang dari kedua-dua buah negara.

Menurut kenyataan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), di sini, hari ini, program berkenaan juga merupakan lanjutan daripada lawatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Republik Singapura pada April 2014 yang lalu.

SBYLEP 2015 melibatkan seramai 14 orang pemimpin belia Republik Singapura dan 16 orang pemimpin belia Negara Brunei Darussalam yang mempunyai latar belakang daripada kalangan profesional dalam bidang pendidikan, kepimpinan, keusahawanan, pembangunan masyarakat dan belia, sains dan kesihatan, kesukarelawanan dan yang berkaitan dengan hal ehwal kebeliaan.

Ia melibatkan lima sesi interaktif mengenai belia dalam bidang kesukarelawan berkaitan isu-isu alam sekitar, warisan dan kebudayaan, kemasyarakatan dan keusahawanan belia.

Gambar ramai para pemimpin belia dari Brunei Darussalam dan Republik Singapura yang menyertai SBYLEP 2015 di sini.
Gambar ramai para pemimpin belia dari Brunei Darussalam dan Republik Singapura yang menyertai SBYLEP 2015 di sini.

pg10_151006_b

Para delegasi juga akan berkesempatan untuk menghadiri sesi ramah mesra bersama Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Teo Chee Hean, di Hutan Simpanan Berakas.

Selain itu, delegasi juga berpeluang untuk menghadiri ceramah khas dan seterusnya berdialog bersama Tuan Yang Terutama Teo Chee Hean di Universiti Brunei Darussalam, di samping berdialog dengan pembesar-pembesar negara yang lain seperti Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Negara Brunei Darussalam, Menteri Kebudayaan, Komuniti dan Belia Republik Singapura dan Menteri Kanan Negara Republik Singapura.

Tambahan itu, para peserta akan menghadiri ‘Brunei-Singapura: Pameran Hubungan Istimewa’ yang akan dilancarkan esok (6 Oktober) di Galeri Seni, Dermaga Diraja.

Beberapa lawatan ke tempat-tempat menarik di negara ini juga disusun seperti ke Kampong Ayer, Ulu Temburong, Tasek Merimbun, ke salah satu majlis perundingan kampung iaitu di Mukim Kiudang untuk melihat dengan lebih dekat adat warisan dan cara hidup masyarakat orang Brunei.

Program SBYLEP ini diharap akan dapat terus dipertingkatkan ke arah melahirkan pemimpin-pemimpin belia yang berwawasan, berdaya saing, dinamik dan berdikari serta mempunyai rangkai jaringan yang berpanjangan ke arah pembangunan belia di Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura.

ARTIKEL YANG SAMA