30 sukarelawan Yayasan sertai Program Pembacaan Khatam Al-Quran

30 sukarelawan Yayasan sertai Program Pembacaan Khatam Al-Quran

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Feb – Seramai 30 belia terdiri daripada ahli-ahli Sukarelawan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), hari ini, menyertai Program Pembacaan 30 Juzuk dan Khatam Al-Quran 32 kali sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan yang berlangsung di Dewan Serba guna, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, di ibu negara.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah ahli Lembaga Pengarah Yayasan, Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin yang juga selaku Pengerusi Jawatankuasa Sukarelawan Yayasan.

Majlis berkenaan dimulakan dengan pembacaan Al-Quran satu Juzuk setiap seorang dan diteruskan dengan solat Fardu Asar berjemaah yang diimamkan oleh ahli Sukarelawan Yayasan, Awang Muhammad Nabil bin Haji Maidin, dan diikuti dengan bacaan Rattib Al-Attas yang diketuai oleh Haji Azman bin Haji Musa.

Menurut kenyataan dari Yayasan, dengan penglibatan para belia di negara ini dalam pelbagai aktiviti keagamaan sudah setentunya berupaya menjadi benteng buat generasi penerus dan pelapis pemimpin dalam menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang dengan berlandaskan ajaran agama Islam.

Tetamu kehormat hadir bersama ahli Lembaga Pengarah Yayasan yang lain pada Majlis Program Pembacaan 30 Juzuk dan Khatam Al-Quran 32 kali.
Tetamu kehormat hadir bersama ahli Lembaga Pengarah Yayasan yang lain pada Majlis Program Pembacaan 30 Juzuk dan Khatam Al-Quran 32 kali.
Antara para sukarelawan yang menyertai Program Pembacaan 30 juzuk di Dewan Serba guna, Kompleks Yayasan.
Antara para sukarelawan yang menyertai Program Pembacaan 30 juzuk di Dewan Serba guna, Kompleks Yayasan.

Antara tujuan program ini diadakan adalah untuk menggalakkan dan menyuntik semangat mencintai kitab suci Al-Quran dan menerapkan budaya membaca Al-Quran dalam kalangan ahli sukarelawan Yayasan dan seterusnya meningkatkan kefahaman mereka tentang kepentingan membaca dan menghayati Al-Quran sebagai panduan hidup.

Kenyataan itu menambah, Yayasan kini sudah mempunyai lebih 1,660 orang sukarelawan berdaftar di Unit Sukarelawan yang terdiri daripada para profesional, belia dan penuntut sekolah, dan turut menyediakan satu platform untuk membolehkan sesiapa sahaja yang berhasrat dan berminat untuk menjadi sukarelawan bagi menyalurkan sumbangan khidmat bakti mereka dalam mengendalikan aktiviti-aktiviti kebajikan terutamanya perkhidmatan masyarakat.

ARTIKEL YANG SAMA