30 tamat Kursus Siasatan Jenayah

30 tamat Kursus Siasatan Jenayah

Oleh Pg Fairol RMF

Gambar oleh James Kon

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mei – Kursus Siasatan Jenayah yang dijalankan secara bersama oleh pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) dan Pasukan Polis Singapura (SPF) diakhiri kelmarin dengan majlis penutup dan penyampaian sijil yang diadakan di Kompleks Padang Tembak PDB di Jalan Aman.

Penyampaian sijil disempurnakan oleh tetamu kehormat, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Penguasa Kanan Radin Jofri bin Radin Mas Basiuni yang turut dihadiri pegawai-pegawai kanan PDB.

Kursus yang bermula sejak 9 Mei lalu itu disertai oleh 30 pegawai PDB yang ditugaskan sebagai pegawai-pegawai penyiasat dari Jabatan Siasatan Jenayah dan Daerah-daerah Polis.

Kursus anjuran Bahagian Latihan dari Jabatan Pentadbiran dan Kewangan, Ibu Pejabat PDB ini direka khas untuk PDB dan memberi tumpuan kepada teknik temu duga untuk pegawai penyiasatan PDB.

Sebelum kursus dijalankan, para peserta menjalani dua hari latihan ulang kaji mengenai undang-undang jenayah, amalan dan prosedur polis yang berkaitan dengan penyiasatan termasuk satu taklimat mengenai prosiding mahkamah dari Jabatan Peguam Negara.

Para pegawai dan anggota PDB dan SPF bergambar ramai setelah tamat kursus berkenaan.
Para pegawai dan anggota PDB dan SPF bergambar ramai setelah tamat kursus berkenaan.

Antara langkah pihak PDB untuk sentiasa memenuhi jangkaan masyarakat awam, kursus ini bertujuan meningkatkan kemahiran dan kesedaran dalam menjalankan tugas dengan cekap dan profesional sebagai pegawai penyiasat.

Pihak PDB juga berharap agar mereka terus meningkatkan kualiti penyiasatan apabila mengendalikan semua kes yang dilaporkan oleh orang ramai.

Pegawai-pegawai dari Sekolah Siasatan Jenayah Home Team SPF, Superintenden Goh Eng Joo, Superintenden Dominique Ngoo, DSP Laurence Rajoo dan Inspektor Kanan Johnson Chea telah diundang khas untuk melaksanakan program latihan ini yang berlangsung selama enam hari hingga 14 Mei 2016.

ARTIKEL YANG SAMA