30 vendor baw...

30 vendor bawa produk unik India

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jan – Pameran Jualan Aadaab India anjuran 360 Exposition International yang berlangsung di ruang legar Airport Mall, bermula hari ini, telah menarik 30 vendor dari India yang membawa produk-produk unik dari India ke Brunei Darussalam.

Menurut penganjur, William Lee, pameran yang diadakan dengan kerjasama syarikat tempatan ini bertujuan untuk memberikan peluang kepada warga Brunei membeli pelbagai produk terkemuka yang didatangkan langsung dari India.

Antara barangan yang dijual termasuk rantai, perkakas kecantikan wanita, pakaian tradisi India, kain sari, kasut, jubah, beg tangan, Madu Yaman dan sebagainya.

Sepanjang pameran lima hari sehingga 15 Januari ini, para pengunjung berpeluang untuk memenangi hadiah berupa baucar membeli-belah bernilai $50 yang boleh digunakan di mana jua pondok jualan pameran tersebut dengan mengisi borang yang disediakan dan juga berpeluang membawa balik beg kulit berwarna-warni bernilai $180 dengan hanya menjawab kuiz meneka berapa warna pada beg berkenaan.

Pameran Jualan Aadaab India menawarkan produk-produk unik dari India.
Pameran Jualan Aadaab India menawarkan produk-produk unik dari India.
Beg berukuran lima kaki lebar dan tiga kaki panjang dipamerkan di ruang legar Airport Mall.
Beg berukuran lima kaki lebar dan tiga kaki panjang dipamerkan di ruang legar Airport Mall.

Salah satu vendor, Zontani International Private Limited Singapura yang dimiliki Sohail Akhtar juga mempamerkan beg besar berukuran lima kaki lebar dan tiga kaki panjang yang dihasilkan daripada 100 peratus kulit asli.

Sohail Akhtar berkata, beg yang dipamerkan itu diwarnakan oleh artis profesional dan direka khas untuk pameran orang ramai.

“Jika ingin memiliki beg kulit tersebut bolehlah datang ke pondok kami yang menjual beg berukuran kecil dan sederhana dengan harga yang berpatutan,” ujarnya.

William Lee berharap lebih ramai pengunjung datang ke pameran ini kerana ianya diadakan buat kali pertama dan produk yang dijual merupakan barangan yang sukar diperolehi.

ARTIKEL YANG SAMA