30 warga emas Daerah Belait diraikan

30 warga emas Daerah Belait diraikan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 13 Jun – Seramai 30 orang warga emas di Daerah Belait telah diraikan pada Majlis Bersungkai Bersama Warga Emas melalui Projek Jalinan Kasih anjuran Perkhidmatan Radio Televisyen Brunei (RTB) Cawangan Belait yang berlangsung di Restoran Indah Damai, Jalan Sungai, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara yang juga Ketua Kampung Mumong, Yang Berhormat Haji Mohd Yusof bin Dulamin dan isteri.

Pemangku Ketua Rancangan Radio, Pengiran Ahmad bin Pengiran Haji Mahmud memberitahu Media Permata, projek amal yang dikendalikan ini adalah bagi meraih keberkatan di bulan Ramadan Al-Mubarak, di samping sebagai tanggungjawab sosial warga RTB kepada masyarakat.

Selain itu, ia juga usaha berterusan Perkhidmatan Radio untuk memasyarakatkan radio ke arah mendukung hasrat kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi mewujudkan budaya kehidupan bermasyarakat yang penyayang dan prihatin.

Menurutnya, orang tua sudah pernah merasa muda tetapi anak-anak muda belum pernah merasa tua, dan itulah hakikat sebenarnya, orang tua memang mempunyai nilai penghargaan yang amat tinggi martabatnya dalam kalangan peringkat hidup manusia sebagai makhluk Allah di muka bumi ini.

Sumbangan disampaikan oleh wakil Al-Hikmah Enterprise (kanan) kepada salah seorang warga emas.
Sumbangan disampaikan oleh wakil Al-Hikmah Enterprise (kanan) kepada salah seorang warga emas.
Yang Berhormat Haji Mohd Yusof menyampaikan sumbangan kepada salah seorang warga emas.
Yang Berhormat Haji Mohd Yusof menyampaikan sumbangan kepada salah seorang warga emas.

“Amat wajarlah mereka dihargai dan dihormati kerana pengalaman hidup yang pernah mereka lalui, sebab itulah mereka dinilai sebagai warga emas,” katanya.

Majlis turut diisikan dengan interaksi bersama warga emas sebagai wadah bertukar-tukar pendapat dan pandangan dalam kalangan warga emas yang hadir bersama warga Perkhidmatan Radio, dan telah mengundang salah seorang warga emas, Haji Ibrahim bin Haji Dollah, yang merupakan pesara imam untuk menyampaikan tazkirah berbentuk nasihat supaya sentiasa menghindari daripada sifat penyakit hati.

Majlis turut menyaksikan penyampaian sumbangan berbentuk kewangan dan keperluan asasi kepada warga emas yang diraikan berkenaan, yang disumbangkan oleh Syarikat Suasana Mentari Engineering Services Sdn Bhd, Al-Hikmah Enterprise, Irmas Enterprise serta ahli-ahli Kelab Radio Kuala Belait.

Bacaan Tahlil dan Doa Arwah juga telah diselitkan pada majlis tersebut yang dibacakan oleh Guru Ugama Tingkat Khas, Surau Batalion Ketiga Tentera Darat Diraja Brunei, Perkhemahan Lumut, Haji Noor Azhar bin Haji Harith.

Acara kemuncak majlis ialah bersungkai yang mana juadah berbuka puasa telah disumbangkan oleh Restoran Indah Damai Kuala Belait.

ARTIKEL YANG SAMA