30 warga Vietnam dipenjara

30 warga Vietnam dipenjara

SYDNEY, 28 Jun (AFP) – Tiga puluh warga Vietnam yang didapati menangkap ikan di perairan Australia dijatuhi hukuman penjara tergantung pada hari ini dan bot mereka dimusnahkan dalam apa yang dikatakan oleh pihak berkuasa sebagai mesej pencegahan yang lantang.

Kru daripada dua buah bot ditangkap menangkap ikan di kawasan simpanan Marin Coral Sea di luar pantai utara Australia pada 2 Jun, dengan peralatan menyelam dan enam tan timun laut – sejenis makanan istimewa di negara seperti China – ditemui dalam bot mereka.

Para nelayan kesemuanya mengaku bersalah di sebuah mahkamah Darwin kerana melanggar undang-undang penangkapan ikan dan alam sekitar Australia.

Penalti mereka termasuk hukuman penjara digantung daripada dua bulan untuk kru kepada lima dan tujuh bulan untuk ketua kapal.

Mereka juga diberikan perjanjian tingkah laku baik daripada dua hingga tiga tahun, dengan membayar Aus$2,000 jika perjanjian dicabul.

“Penangkapan ikan secara haram menjejaskan kemapanan ekonomi sumber laut Australia yang dikendali dengan baik,” kata pengurus besar Pihak Berkuasa Pengurusan Perikanan Australia Peter Venslovas.

“Sabitan dan pemusnahan kapal adalah keputusan yang baik dan akan membawa mesej amat lantang kepada semua orang yang menimbang untuk menangkap ikan di perairan Australia.”

Kes itu muncul pada hari yang sama dengan sebuah bot Papua New Guinea ditahan kerana menangkap ikan di perairan Australia, membawa timun laut dan dua sirip ikan yu.

Menurut laporan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada bulan ini, sehingga 26 juta tan ikan ditangkap secara haram setiap tahun.

ARTIKEL YANG SAMA