300 belia & beliawanis sertai program tadarus

300 belia & beliawanis sertai program tadarus

Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

 

TEMBURONG, 30 Jun – Kira-kira 300 belia dan beliawanis di daerah ini sekali lagi menyertai Program Bertadarus Al-Quran Bulan Ramadan Belia yang berlangsung di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, di sini, kelmarin.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Hazair bin Haji Abdullah.

Turut hadir ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Sulaiman bin Haji Ahad, setiausaha tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), pengarah belia dan sukan, penghulu Mukim Bangar, para pegawai kanan KKBS serta ahli Takmir Masjid.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Haji Hazair dan diikuti dengan bacaan Al-Quran oleh peserta program dan mereka yang hadir.

Majlis kemudian disusuli dengan Bacaan Takhtim diketuai oleh Awang Omar (wakil Belia Daerah Temburong), seterusnya tahlil dan doa selamat dipimpin oleh Haji Shafrillah bin Haji Ahmad.

Yang Berhormat Pehin Haji Hazair bersama para tetamu yang lain di majlis Program Bertadarus Al-Quran di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Daerah Temburong.
Yang Berhormat Pehin Haji Hazair bersama para tetamu yang lain di majlis Program Bertadarus Al-Quran di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Daerah Temburong.
Sebahagian para peserta yang mengikuti majlis Program Bertadarus Al-Quran.
Sebahagian para peserta yang mengikuti majlis Program Bertadarus Al-Quran.

Terdahulu sebelum kehadiran tetamu kehormat, para peserta belia dan beliawanis telah membaca 30 juz ayat-ayat suci Al-Quran secara berkumpulan dengan bimbingan Pentasmi atau Guru Pembimbing.

Majlis yang diadakan sebagai salah satu projek tahunan ini adalah bagi menyemarakkan bulan Ramadan dengan pengisian aktiviti penuh bermanfaat terutama dengan pembacaan Al-Quran sekali gus meningkatkan kefahaman belia tentang kepentingan membaca dan menghayati Al-Quran sebagai panduan hidup.

Program seumpamanya adalah anjuran Jabatan Belia dan Sukan, KKBS bersempena bulan Ramadan Al-Mubarak yang dianjurkan sejak tahun 2003 lagi, yang diharapkan akan dapat meningkatkan lagi penglibatan belia dalam aktiviti keagamaan yang sudah setentunya berupaya menjadi benteng buat generasi belia dalam menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang.

ARTIKEL YANG SAMA