300 dalami pengetahuan penyembelihan binatang

300 dalami pengetahuan penyembelihan binatang

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Ogos – Seramai 300 orang telah mengikuti Bengkel Penyembelihan Binatang Ternakan Secara Islam anjuran Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Bahagian Imarah dan Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Brunei Muara dengan kerjasama Jawatankuasa Takmir Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan sijil kepada para peserta ialah Pengarah Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh,

Bengkel yang berlangsung di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam itu bertujuan sebagai sumber ilmu pengetahuan dan melibatkan institusi masjid sebagai tempat gedung pendidikan agama di mana berhasilnya melahirkan masyarakat yang cemerlang.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk memberi peluang kepada masyarakat untuk mendalami ilmu pengetahuan mengenai ibadah korban, mendekatkan masyarakat dengan masjid, dan memberikan kesedaran dan pengajaran yang terdapat dalam kehidupan bermulanya ibadah korban melalui sejarah Islam.

Ia juga sebagai satu projek tahunan Jabatan Hal Ehwal Masjid dalam ,memberikan kesedaran dan keinsafan kepada kita agar jangan lalai dan leka dengan kemewahan dunia

Demonstrasi penyembelihan ayam.
Demonstrasi penyembelihan ayam.
Haji Abdul Rajid menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta bengkel.
Haji Abdul Rajid menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta bengkel.

Ibadah korban merupakan antara amalan yang amat disukai oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam di mana Baginda sentiasa menggalakkan para sahabat melakukan ibadah korban. Memandangkan ibadah korban itu mempunyai banyak hikmah dan kelebihan yang memberi kebaikan kepada diri kita, agama dan juga masyarakat.

Oleh sebab itu, sebagai umat Islam yang mampu seharusnya mengambil iktibar terhadap galakan Rasulullah S.A.W kepada sahabat Baginda untuk berbuat demikian.

Jabatan Hal Ehwal Masjid berharap, dengan adanya bengkel seumpama ini akan dapat memupuk kesedaran para peserta khasnya dan orang ramai amnya mengenai peri mustahaknya dalam memahami ibadah korban.

Melalui bengkel ini juga, para peserta akan dapat menyampaikan ilmu pengetahuan yang diperoleh kepada keluarga dan rakan-rakan.

ARTIKEL YANG SAMA