300 warga Ind...

300 warga India jalani pemeriksaan asas kesihatan

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Mac – Isu kematian mengejut yang berpunca daripada penyakit-penyakit tidak berjangkit seperti darah tinggi, kencing manis dan banyak lagi dalam kalangan warga India di negara ini merupakan satu isu yang sangat membimbangkan.

Sehubungan itu, ke arah mengurangkan lagi bebanan isu tersebut, Suruhanjaya Tinggi India di Negara Brunei Darussalam dengan kerjasama Pusat Perubatan Gleneagles JPMC telah mengadakan pemeriksaan asas kesihatan percuma di Bangunan Suruhanjaya Tinggi India di Sungai Akar.

Menurut Pesuruhjaya Tinggi India ke Negara Brunei Darussalam, Nagma Mohamed Mallick ketika ditemu bual, aktiviti yang dianjurkan buat kali pertama itu menarik hampir 300 warganegara India di negara ini bagi menjalankan pemeriksaan.

“Pemeriksaan kesihatan hari ini hanyalah pemeriksaan asas sahaja, di mana setiap warganegara India hanya menjalani pemeriksaan kesihatan seperti pemeriksaan tekanan darah, pemeriksaan darah untuk kadar gula dan sebagainya.

Antara warga India yang menyertai pemeriksaan asas kesihatan tersebut ketika menunggu giliran.
Antara warga India yang menyertai pemeriksaan asas kesihatan tersebut ketika menunggu giliran.
Kakitangan kesihatan ketika menjalankan pemeriksaan asas kesihatan ke atas warga India.
Kakitangan kesihatan ketika menjalankan pemeriksaan asas kesihatan ke atas warga India.

Selepas itu, mereka yang bermasalah akan diberikan nasihat secara percuma oleh doktor-doktor Pusat Perubatan Gleanegles JPMC,” tambahnya lagi.

Beliau juga berkata, mereka yang didapati bermasalah akan diarahkan untuk membuat pemeriksaan lanjut di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS).

Suruhanjaya Tinggi India juga telah menubuhkan satu komuniti kebajikan untuk warga-warganya di negara ini sebagai membantu mereka yang memerlukan biaya perubatan di hospital dan sebagainya.

Dengan itu, mereka yang diarahkan untuk membuat pemeriksaan lanjut di Hospital RIPAS akan dapat membuat tuntutan daripada mana-mana pembayaran di hospital,” tambah Nagma Mohamed Mallick lagi.

ARTIKEL YANG SAMA