3,000 belia sertai Perhimpunan Bertadarus Al-Quran Senegara

3,000 belia sertai Perhimpunan Bertadarus Al-Quran Senegara

Oleh Yusrin Junaidi & Salawati Yahya

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Jun – Seramai 3,000 orang belia dan beliawanis dari agensi-agensi kerajaan dan persatuan belia, para penuntut, bekas peserta program belia dan orang-orang perseorangan telah menyertai Perhimpunan Bertadarus Al-Quran Belia Senegara ke-5 yang berlangsung secara berasingan di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah bagi belia lelaki dan Masjid Omar ‘Ali Saifuddien bagi belia wanita, hari ini.

Berkenan berangkat ke majlis perhimpunan bagi belia lelaki ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik, manakala itu, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah berkenan berangkat ke majlis tadarus bagi belia perempuan.

Keberangkatan YTM Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik di Jame Asr Hassanil Bolkiah telah dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Majlis kelolaan Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) itu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Awang Sadun bin Suhaili dan diikuti dengan majlis khatam Al-Quran yang dikepalai oleh para penuntut dari Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) dan diteruskan dengan bacaan Takhtim serta Dikir Marhaban oleh Kumpulan Dikir Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).

Keberangkatan Yang Teramat Mulia Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik ke Perhimpunan Bertadarus Al-Quran Belia Senegara ke-5 di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah bagi belia lelaki.
Keberangkatan Yang Teramat Mulia Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik ke Perhimpunan Bertadarus Al-Quran Belia Senegara ke-5 di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah bagi belia lelaki.
Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik semasa Majlis Perhimpunan Bertadarus Al-Quran Belia Senegara ke-5.
Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik semasa Majlis Perhimpunan Bertadarus Al-Quran Belia Senegara ke-5.
Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah berkenan berangkat bagi peserta belia perempuan di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien. – Gambar Infofoto
Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah berkenan berangkat bagi peserta belia perempuan di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien. – Gambar Infofoto

pg05_160623_d

Doa Allah Peliharakan Sultan pula telah dibacakan oleh Awang Sadun sebelum diakhiri dengan solat fardu Zohor berjemaah.

Manakala itu, keberangkatan YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien pula telah dijunjung oleh isteri Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Hajah Kalshom binti Haji Suhaili dan Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan KKBS, Datin Hajah Shireen binti Haji Mustapha.

Pada majlis itu, bacaan Surah Al-Fatihah bagi peserta perempuan dipimpin oleh Dayangku Siti Ummi Syazana binti Pengiran Haji Marjuki diikuti dengan majlis khatam Al-Quran yang diketuai oleh penuntut dari ITQSHHB manakala bacaan Takhtim dan Dikir Marhaban dipersembahkan oleh Kumpulan Azzahra.

Pelajar Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah.
Pelajar Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah.
Bacaan Takhtim dan Dikir Marhaban dipersembahkan oleh Kumpulan Azzahra.
Bacaan Takhtim dan Dikir Marhaban dipersembahkan oleh Kumpulan Azzahra.

Doa Peliharakan Sultan kemudiannya dibacakan oleh Dayangku Siti Ummi Syazana dan majlis diakhiri dengan solat fardu Zohor berjemaah.

Majlis ini antara lain bertujuan meningkatkan kesedaran para belia dalam pembacaan dan penghayatan Al-Quran sebagai panduan hidup serta untuk mempertingkatkan dan mengukuhkan persefahaman serta kerjasama antara agensi-agensi yang terlibat dalam pembangunan dan tarbiah belia.

Selain itu, ia juga diadakan bagi menyemarakkan bulan Ramadan dengan pengisian-pengisian yang bermanfaat terutama dengan pembacaan Al-Quran.

Dengan adanya majlis seumpama ini, diharap dapat meningkatkan lagi penglibatan belia dalam aktiviti keagamaan yang sudah setentunya berupaya menjadi benteng buat generasi belia dalam menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang.

ARTIKEL YANG SAMA