30,000 PATI di Sarawak

30,000 PATI di Sarawak

KUCHING, 9 Dis – Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak menganggarkan 30,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) kini berada di Sarawak, dengan sebahagian besar daripada mereka terlibat dalam sektor perladangan.

Pengarahnya, Datuk Mohd Zulfikar Ahmad berkata pihaknya menghadapi cabaran besar dalam melaksanakan pemeriksaan di sektor berkenaan disebabkan kawasan perladangan yang luas dan kebanyakannya jauh di pedalaman.

Beliau berkata pihaknya memerlukan banyak bantuan dan kerjasama daripada orang ramai untuk menyalurkan maklumat dalam usaha membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin, dan beliau menegaskan tahun ini menyaksikan peningkatan ketara dalam jumlah tangkapan pendatang di Sarawak.

“Sehingga November lalu, 1,863 pendatang asing dan enam warga tempatan ditahan kerana pelbagai kesalahan berkaitan imigresen di Sarawak, berbanding 1,588 pendatang asing dan lima majikan tempatan sepanjang tahun lepas,” katanya dalam satu kenyataan yang diedarkan di bilik media di luar persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini.

Katanya dalam tempoh yang sama tahun ini 2,912 warga asing diusir ke negara asal, berbanding 2,410 sepanjang tahun lepas.

Sementara itu Zulfikar berkata sambutan Hari Imigresen Malaysia tahun ini dijadual berlangsung di Miri Marriot Resort and Spa, Miri pada 19 Disember ini, dengan majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata majlis itu merupakan satu penghormatan kepada Sarawak kerana ia julung kalinya diadakan di luar ibu pejabat Imigresen Putrajaya.

Katanya sambutan tahun ini juga akan menyaksikan Timbalan Perdana Menteri melancarkan Pelan Strategik Jabatan Imigresen Malaysia dan Kod Etika Jabatan, Penyampaian Anugerah Tokoh Imigresen 2015. – Bernama